SELEPAS diumumkan sebagai juara baharu middleweight UFC, Khamzat ‘Borz’ Chimaev memilih untuk meraikan kejayaan terbesarnya bersama insan paling istimewa.
Sebaik melangkah ke bilik persalinan di United Center, Chicago, petarung sensasi kelahiran Chehnya itu segera mencapai telefon bimbit untuk membuat panggilan FaceTime kepada ibunya untuk menunjukkan tali pinggang kejuaraan yang baru digenggamnya.
Momen ringkas tetapi penuh emosi itu memperlihatkan sisi berbeza Khamzat, 31, yang selama ini terkenal dengan wajah tenang tanpa ekspresi setiap kali di hadapan kamera.
Kali ini, senyuman jelas terukir ketika berbicara dengan ibunya di kampung halaman, seolah-olah membuktikan bahawa di sebalik watak garang seorang petarung, tetap tersimpan kasih sayang mendalam seorang anak kepada ibunya.
Pertarungan utama lima pusingan di UFC 319 pada Ahad menyaksikan Khamzat menewaskan juara bertahan, Dricus Du Plessis menerusi keputusan sebulat suara juri.
Dari awal pusingan hingga tamat, Khamzat mendominasi pertarungan di Oktagon, sekali gus menutup mulut pengkritik yang sebelum ini meragui tahap kecergasannya.
Presiden UFC, Dana White sendiri kagum dengan dominasi tersebut apabila berkongsi kad markah peribadi yang memihak kepada Khamzat.
Menerusi persembahan sehebat itu, ramai menjangkakan Kamzat mampu bertahan lama sebagai raja divisyen middleweight, meskipun ada pencabar berpengalaman seperti Sean Strickland yang mendakwa masih berupaya menyaingi juara baharu tersebut.
Kejayaan di UFC 319 turut mengangkat nama Khamzat sebagai juara ketiga dalam sejarah middleweight UFC yang mengekalkan rekod tanpa kalah.
Khamzat menyertai bekas juara Israel Adesanya yang pernah melakar 20 kemenangan berturut-turut, serta Chris Weidman yang mempertahankan kejuaraan sebanyak tiga kali sebelum tewas buat kali pertama pada 2015.
Secara keseluruhan, UFC hanya melahirkan beberapa juara dunia tanpa rekod kekalahan.
Di divisyen lightweight, nama besar seperti Khabib Nurmagomedov (bersara 29-0) dan juara semasa Ilia Topuria (17-0) mengekalkan rekod sempurna sepanjang karier.
Khamzat kini menyertai kelompok elit itu dengan rekod 15-0, satu pencapaian yang mengukuhkan reputasinya di UFC.