Khidmat khas pindahkan wanita mangsa penderaan rumah tangga

Khidmat khas pindahkan wanita mangsa penderaan rumah tangga


Tokyo: Inisiatif syarikat di Jepun yang menawarkan perkhidmatan menyelamatkan wanita mangsa penderaan rumah tangga mendapat pujian ramai di media sosial.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan, Night Escape House diasaskan 23 tahun lalu oleh seorang wanita Jepun yang tidak dikenali yang juga mangsa keganasan rumah tangga.

Selepas melarikan diri dari rumahnya bersama anjing peliharaannya, perbualan dengan seorang pegawai polis mengenai pengalaman pahit itu memberi inspirasi kepadanya untuk melancarkan perkhidmatan pemindahan untuk membantu mangsa lain.

Syarikat itu dilaporkan sudah membantu lebih 2,500 mangsa, dengan 80 peratus daripadanya mengalami keganasan rumah tangga atau kes stalking (mengintai).

Ia turut menawarkan perkhidmatan perundingan 24 jam dan menerima antara satu hingga 20 pertanyaan setiap hari.

Kira-kira 120 individu terus menggunakan perkhidmatan berkenaan setiap tahun.

Caj dikenakan antara 50,000 (kira-kira RM1,504) dan 200,000 yen (kira-kira RM6,015) untuk pemindahan di kawasan metropolitan dekat sini.

Bagi menjaga privasi, pelanggan lazimnya menghubungi syarikat secara dalam talian, dan semua butiran mengenai tarikh dan lokasi tempat berpindah akan dirahsiakan.

Polis dimaklumkan lebih awal dan nota ditinggalkan di kediaman untuk menjelaskan bahawa individu berkenaan sudah dipindahkan.

Ketika perpindahan dilakukan, kakitangan syarikat mengenakan pakaian kasual dan bukannya baju seragam selain menyewa trak berbeza untuk setiap pergerakan bagi mengelak gerak-geri mereka diketahui.

Buat masa ini, syarikat itu menggunakan khidmat 10 individu, kebanyakannya adalah bekas pelanggan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top