am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kumpulan Penyair Nasional (KHUPAS) dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berjaya merangkul gelaran juara, sekali gus membawa pulang wang tunai RM3,000 pada Malam Puisi Riong Berita Harian (BH) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Edisi Puisidra 2024.
Majlis berprestij itu berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP di sini, malam ini.
Tempat kedua dimenangi oleh Aiman Afiq Ismail dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan hadiah kemenangan wang tunai RM2,000.
Elvienie Petrus dari UPSI memenangi tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM1,000.
Hadiah disampaikan oleh Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima), Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid.
Yang turut hadir Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr Mohd Zahari Ismail dan Ketua Pengarah DBP, Dr Hazami Jahari
Hadir sama, Pengarang Urusan Kumpulan, Media Prima, Jasbant Singh; Timbalan Pengarang Kumpulan Media Prima merangkap Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Farrah Naz Abd Karim dan Pengarang Eksekutif (Berita dan Digital) BH, Zainudin Mohd Isa.
Bertemakan ‘Malaysia Madani’, acara ini diadakan untuk mendorong bukan hanya kelangsungan seni dan budaya, tetapi juga menyampaikan pesan patriotisme, aspirasi dan penghargaan terhadap tanah air.
Di samping itu juga, ia meningkatkan keterampilan berbahasa dan mendorong pemikiran golongan muda dalam mencapai keunggulan pendidikan.
Sementara itu, wakil KHUPAS, Najmi Adli Mustaffa, 25, menyifatkan acara yang diadakan ini dapat mencungkil lagi bakat khususnya dalam kalangan generasi muda.
Dengan menggabungkan puisi dan drama, beliau berpandangan ia menjadikan medium seni itu berbeza berbanding kebiasaan.
“Kami adalah golongan muda yang minat dalam bidang Sastera, khususnya dalam bidang puisi. Kalau kita tengok anjuran DBP atau GAPENA, banyak anjurkan Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan.
“Ini adalah platform terbaik untuk cungkil lagi bakat anak muda khususnya dalam bidang puisi mellaui pelbagai platform seperti hari ini… Gabungan puisi dan drama. Mungkin selepas ini boleh diadakan puisi dan nyanyian,” katanya.
Menurut Aiman Afiq, 21, acara yang menggabungkan puisi dan drama sememangnya pendekatan berbeza sebagai pendekatan menarik lebih ramai anak muda zaman kini untuk terbabit dengan puisi.
“Dari program ini, saya lihat ia memberi impak sosial kerana mengetengahkan bakat-bakat muda yang terpendam. Macam saya sendiri, saya pun tidak tahu kawan saya boleh berlakon dan berpuisi.
“Namun, mereka tampil bernas di atas pentas. Maka pertandingan seperti ini hendaklah diadakan lagi pada tahun depan. Saya juga harapkan ia berkekalan sampai bila-bila,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd