Khutbah Arafah seru perpaduan umat, tolak fahaman sempit dan perpecahan

Khutbah Arafah seru perpaduan umat, tolak fahaman sempit dan perpecahan


Makkah: Ibadah haji menjadi medan penyatuan yang agung dan simbol kesatuan sejagat yang berupaya mengembalikan kekuatan umat Islam sekiranya dihayati dengan keinsafan serta kefahaman mendalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, tatkala umat Islam di seluruh dunia berdepan pelbagai bentuk perpecahan akibat fahaman sempit dan semakin hilangnya semangat ukhuwah, semangat haji ini perlu untuk menyuburkan kembali nilai kasih sayang, hormat-menghormati serta persaudaraan dalam kalangan umat.

“Jika kita merenung dengan mata hati yang terbuka, kita akan melihat ibadah haji sebagai satu simbol penyatuan umat Islam sedunia. Lihatlah jutaan manusia daripada pelbagai bangsa, warna kulit, latar budaya dan bahasa berhimpun di satu tempat, menghadap satu kiblat dan menyebut satu nama iaitu Allah SWT.

“Tiada pangkat, tiada kasta, tiada kemegahan dunia dan yang tinggal hanyalah dua helai kain putih serta hati yang tunduk kepada Ilahi. Di sinilah Islam memansuhkan diskriminasi dan menegakkan keadilan sejati bahawa nilai seorang insan bukan pada rupa atau harta, tetapi pada takwa serta amal soleh.

“Inilah maqasid sosial ibadah haji iaitu untuk menyatukan hati umat Muhammad SAW. Tanpa penyatuan, umat ini akan terus lemah, terpinggir dan kehilangan arah,” katanya ketika menyampaikan Khutbah Arafah bertajuk Seruan Tauhid dan Kesatuan Umat sempena Hari Wukuf di Padang Arafah hari ini.

Pada masa sama, umat Islam turut diseru agar menghayati nilai-nilai luhur yang dituntut sepanjang menunaikan ibadah haji demi memastikan ibadah yang dilaksanakan bukan sahaja sah, tetapi juga memberi kesan mendalam kepada pembentukan akhlak dan peribadi.

Mohd Na’im turut menyeru jemaah haji supaya sentiasa menjaga keselamatan diri, harta dan keluarga agar tidak cuai sehingga menjejaskan keseluruhan ibadah.

“Selain itu, jemaah juga diingatkan supaya menunaikan hak sesama manusia dengan bersikap toleransi dan saling bantu-membantu serta menghindari sebarang bentuk perbalahan kerana dikhuatiri akan merosakkan roh haji,” katanya.

Beliau turut mengingatkan jemaah agar memperbanyakkan istighfar dan menjadikan ibadah haji sebagai titik tolak kepada perubahan diri ke arah menjadi hamba yang kembali kepada fitrah, penuh keinsafan dan ketakwaan kepada Allah SWT.

Terdahulu, Mohd Na’im meluangkan masa melawat khemah penempatan dan beramah mesra dengan jemaah haji Muassasah di sini.

Malaysia menerima kuota sebanyak 31,600 jemaah daripada Kerajaan Arab Saudi bagi musim haji 1446H/2024.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top