Kibar bendera asing tidak akan berulang jika penganjur ada sikap nasionalis

Kibar bendera asing tidak akan berulang jika penganjur ada sikap nasionalis


KUALA LUMPUR – Penganjur sambutan Guan Gong Sedunia perlu memikul tanggungjawab sepenuhnya atas kecuaian mereka sehingga berlaku pengibaran bendera China oleh warga negara itu yang menyertai acara di Teluk Intan baru-baru ini.

Felo Kanan Majlis Profesor Negera, Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, walaupun permohonan maaf telah dibuat oleh penganjur tetapi banyak persoalan yang timbul mengapa pengibaran bendera China boleh berlaku dalam acara tersebut.

“Mengapa penganjur tidak menghentikan pengibaran bendera itu serta-merta. Adalah tidak rasional mengibarkan bendera China dalam acara yang diadakan di negara  Malaysia.

“Saya juga tertanya-tanya adakah persediaan (pengibaran bendera) dibuat lebih awal memandangkan saiz bendera yang dikibarkan adalah besar. Saya berpendapat saiz (bendera) sebegitu besar tidak dijual di Malaysia,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau yang kurang senang melihat insiden bendera China dikibarkan di Malaysia secara terbuka dua kali dalam tempoh sebulan menyifatkan perkara ini tidak akan berlaku secara berulang-ulang jika penganjur yang merupakan rakyat Malaysia adalah seorang nasionalis.

Menurutnya, apapun alasan, penganjur sepatutnya ada rasa sensitif apatah lagi tiada bendera Malaysia dikibarkan dalam acara di Teluk Intan itu.

“Kita sebagai rakyat Malaysia boleh mempersoalkan mengapa penganjur tidak sensitif kerana sebagai rakyat Malaysia penganjur perlu ada rasa nasionalis.

“Mengapa mereka tidak sensitif, walaupun mereka etnik Cina tetapi duduk di Malaysia, kecuali mereka pendatang.

“Kita boleh lihat dalam acara formal diplomatik antara negara, selalunya dua bendera akan dikibarkan tetapi kejadian di Teluk Intan yang tular tiada (bendera Malaysia), hanya satu bendera sahaja.

“Sudah tentu tindakan mengibarkan bendera China menimbulkan kemarahan kerana ia dilihat sebagai satu provokasi, mencabul kedaulatan negara ini,” jelas Kok Seong.

Mengulas lanjut, pakar sejarah ini berkata, sudah sampai masanya pihak berkuasa menokhtahkan kejadian seumpama ini.

“Dulu ada pihak terbalikkan bendera Malaysia, lepas tu kibar bendera China di sekolah, sekarang lebih terbuka.

“Ini isyarat yang tidak baik dan perlu dihentikan segara. Tindakan undang-undang perlu diambil supaya setiap orang di negara ini menghormati kedaulatan Malaysia. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top