Kota Bharu: Polis sudah menyerahkan kertas siasatan berkaitan isu pengibaran bendera Israel ketika program “500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza” yang berlangsung di Lembah Sireh, di sini, Jumaat lepas, kepada pendakwa raya negeri hari ini untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata penganjur program terbabit juga telah dipanggil semalam untuk siasatan lanjut dan dijangka didakwa di mahkamah dalam masa terdekat.
“Kes ini disiasat mengikut tiga peruntukan undang-undang iaitu Seksyen 3 Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya kepada Bernama hari ini.
Pada Jumaat lepas, kejadian itu berlaku apabila sebuah bot yang memasang beberapa bendera Israel melakukan lakonan semula insiden penahanan bot yang menimpa sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) ketika dalam pelayaran menuju ke Gaza.
Program anjuran Pertubuhan Anak Muda Bangkit Malaysia itu disertai hampir 10,000 peserta yang menaiki bot masing-masing dan berarak dari Kampung Pulau Pisang hingga ke Lembah Sireh, meliputi jarak sejauh lapan kilometer, sebagai tanda solidariti terhadap Palestin.
© New Straits Times Press (M) Bhd