Kidslympic bukan sekadar larian, semarak budaya sukan akar umbi

Kidslympic bukan sekadar larian, semarak budaya sukan akar umbi


LEBIH 500 kanak-kanak bersama keluarga memeriahkan Larian Kidslympic Malaysia Pulau Pinang 2025 sekitar Georgetown pada Khamis.

Acara ini merupakan sebahagian daripada siri Jelajah Larian Kidslympic Malaysia peringkat kebangsaan menjelang Temasya Kidslympic Malaysia di Kuala Lumpur bulan depan sekali gus menjadi platform memupuk budaya sukan sejak usia muda.

Edisi Pulau Pinang turut menampilkan kehadiran Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, yang menyerikan penganjuran acara sukan ini sambil menzahirkan komitmen kerajaan terhadap pemerkasaan belia melalui sukan serta perlindungan sosial keluarga.

Kehadirannya menekankan kepentingan kesejahteraan keluarga, khususnya golongan suri rumah yang menjadi tulang belakang masyarakat.

“Sukan membentuk sahsiah, disiplin dan daya tahan. Pada masa sama, kita mesti memastikan anggota keluarga khususnya suri rumah dilindungi dan diperkasakan.

Dari kiri, Ketua Pegawai Eksekutif Kidslympic Malaysia, Lim Kien Wei; Ketua Juruaudit Dalaman Kumpulan AFFIN Bank Berhad, Wahdania Mohd Khir, Steven; Liu Ying dan Wong Kang Woon bersama pemenang-pemenang.

“Larian Kidslympic Malaysia Pulau Pinang 2025 menggabungkan kedua-dua nilai ini, menjadikan inisiatif ini amat dekat di hati saya,” kata Steven.

Kemuncak edisi Pulau Pinang kali ini ialah kerjasama Kidslympic Malaysia bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerusi inisiatif Lindung Kasih iaitu Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).

Program ini memberi akses perlindungan sosial kepada golongan suri rumah termasuk faedah kemalangan, kecacatan dan kehilangan nyawa, sekali gus menghargai pengorbanan ibu dalam membina keluarga yang lebih kukuh.

Atlet Olimpik, Goh Liu Ying yang juga pengasas bersama Kidslympic dan Ahli Lembaga SKSSR PERKESO, berkata: “Seperti mana kita meraikan kesihatan dan kecergasan anak-anak dalam Kidslympic, kita juga perlu menghormati serta melindungi golongan ibu yang berkorban setiap hari demi membina keluarga lebih kukuh.

“Lindung Kasih ialah cara kami memastikan negara tidak melupakan wira-wira tidak didendang ini.”

PERKESO membuka reruai interaktif dan kaunter maklumat di lokasi, membolehkan peserta dan keluarga memahami proses pendaftaran, faedah serta impak jangka panjang skim ini.

Perlindungan terbuka kepada wanita yang menguruskan rumah tangga sepenuh masa atau separuh masa, termasuk isteri, ibu, janda, balu atau ibu tunggal, dengan sumbangan RM120 setahun yang boleh dibayar oleh suami, ahli keluarga atau pihak ketiga.

Larian Kidslympic Malaysia merupakan gagasan bertaraf kebangsaan yang memupuk budaya sukan dari akar umbi.

Selain memberi peluang kepada kanak-kanak berusia 4 hingga 12 tahun merasai keseronokan berlari sambil menimba semangat berpasukan dan persaingan sihat, ahli keluarga peserta turut terlibat dalam aktiviti karnival, permainan interaktif dan bengkel kesihatan.

Edisi Pulau Pinang adalah hentian ketiga Jelajah Larian Kidslympic Malaysia 2025 selepas Kuala Lumpur dan Johor, dengan tema Dari Padang Permainan ke Podium yang menekankan kesihatan, daya tahan dan perpaduan keluarga.

Larian seterusnya dijadual berlangsung di Gamuda Gardens Experience Gallery pada 28 September.

Temasya Kidslympic Malaysia 2025 dijangka menghimpunkan lebih 1,500 atlet muda dari seluruh negara yang akan bersaing dalam pelbagai disiplin gaya Olimpik termasuk olahraga, renang, bola keranjang 3×3, bola tampar, bola sepak, gimnastik dan perlumbaan halangan di Stadium PNB Merdeka Ventures, Kuala Lumpur, dari 10 hingga 13 Oktober.

Ringkasan AI

  • Lebih 500 kanak-kanak bersama keluarga memeriahkan Larian Kidslympic Malaysia Pulau Pinang 2025
  • Acara ini bertujuan memupuk budaya sukan sejak usia muda sebagai peringkat persediaan ke Temasya Kidslympic Malaysia
  • Menteri Sumber Manusia, Steven Sim hadir menzahirkan komitmen kerajaan untuk pemerkasaan belia melalui sukan dan perlindungan golongan suri rumah
  • Kerjasama dengan PERKESO melalui inisiatif Lindung Kasih bagi memberi perlindungan sosial kepada suri rumah
  • Larian ini juga menawarkan pengalaman olahraga, kesehatan dan perpaduan keluarga bagi kanak-kanak berusia 4 hingga 12 tahun



Source link

OR

Scroll to Top