syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi yang juga anggota kumpulan TBA, Teuku Rizky menjelaskan tidak pernah timbul sebarang perbalahan antara anggota-anggota TBA iaitu dia, Bastian dan Aldi dengan rakan mereka, Iqbaal Ramadhan.
Rizky atau Kiki, 26, berkata, walaupun tidak lagi bersama seperti mana mereka pernah bergabung di dalam kumpulan Coboy Junior dan CJR satu ketika dahulu, mereka tetap menyokong kerjaya seni satu sama lain.
“Tak ada sebarang perbalahan. Iqbal pun ada keluarkan lagu solonya juga. Kami berikan sokongan. Mungkin kami sahabat baik, tetapi hala tujunya sudah berbeza. Mungkin satu hari nanti, kami dapat peluang untuk kembali bergabung,” katanya kepada Harian Metro.
Tambah Kiki, walaupun pada awalnya agak sukar untuk mereka beradaptasi dengan perubahan daripada empat anggota kepada tiga anggota, itu tidak menjadi halangan untuk mereka teruskan perjalanan dengan TBA.
“Di peringkat awal tentunya ada sedikit kesukaran untuk kami mengadaptasi dari empat anggota kepada tiga anggota. Kami bersama sejak kecil. Jadi, ini bukan hanya sebuah band untuk saya, tetapi ia sudah seperti keluarga.
“Apabila Iqbal tak dapat bergabung bersama kami, sebenarnya saya sedih sebab bagaimanapun, kami memulakan ini secara berempat. Tapi, saya harus hormat dengan keputusannya untuk memberi tumpuan kepada filem pada saat itu pada 2016. Jadi, tak mengapa. Kami teruskan tanpa dia,” katanya.
Terbaharu, TBA bakal mengadakan konsert sulung di Malaysia pada 20 November 2024 di Zepp Kuala Lumpur.
“Dari zaman Coboy Junior hingga ke CJR hingga ke TBA, kami belum pernah adakan persembahan di Malaysia. Ini kali pertama dan kami benar-benar bersemangat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd