am@hmetro.com.my
Gurun: Sebuah premis kitar semula e-waste di kawasan perindustrian di Bedong dekat sini yang beroperasi secara haram dan pernah dikenakan tindakan mahkamah sekali lagi diserbu Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah kerana kesalahan sama.
Premis itu dipercayai menjalankan aktiviti perindustrian termasuk kilang pemerolehan kembali buangan terjadual secara haram yang juga menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.
Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota JAS bersama pasukan Cawangan Khas Kedah malam tadi hingga awal pagi ini.
Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat kira-kira lima metrik tan buangan terjadual (bateri terpakai yang mengandungi lithium) dan 26 metrik tan buangan e-waste yang ditemui dalam premis berkenaan.
Beliau berkata, premis terbabit didapati berulang kali melakukan kesalahan sama membabitkan peletakan, pemprosesan buangan terjadual serta kegagalan mendapatkan kelulusan berkaitan termasuk kelulusan Laporan Kajian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) serta lesen daripada JAS.
“Premis ini juga pernah diambil tindakan oleh mahkamah dan beberapa kertas siasatan sebelum ini juga sedang dalam proses tindakan mahkamah.
“Pihak JAS Kedah juga sudah berulang kali memberikan khidmat nasihat untuk membantu premis menjalankan aktiviti pemprosesan buangan terjadual secara sah, namun tidak diendahkan oleh premis terbabit.
“JAS Kedah akan terus meningkatkan pemantauan bagi mengesan sebarang aktiviti pemerolehan kembali buangan terjadual secara haram yang boleh menyebabkan pelbagai masalah pencemaran kepada alam sekitar dan masalah kesihatan kepada orang awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sharifah Zakiah berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18(1), Seksyen 34A (7) dan Seksyen 34B (1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974
Sharifah Zakiah berkata, premis ini diambil tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) mengikut Seksyen 38(1)(a), AKAS 1974 ke atas mesin-mesin pengeluaran yang diguna pakai di dalam premis tanpa sebarang alat kawalan dan tanpa kebenaran JAS.
© New Straits Times Press (M) Bhd