King Kazu tak kenal penat

King Kazu tak kenal penat


LAGENDA bola sepak Jepun, Kazuyoshi Miura, kembali beraksi dalam saingan kompetitif pada usia 58 tahun apabila dimasukkan sebagai pemain gantian semasa kemenangan 2-1 Atletico Suzuka ke atas YSCC Yokohama dalam saingan Liga Bolasepak Jepun (JFL).

Penampilan itu menandakan permulaan musim ke-40 Miura sebagai pemain profesional satu pencapaian luar biasa dalam era bola sepak moden.

Miura, yang digelar ‘King Kazu’, sebelum ini terpaksa berehat panjang akibat kecederaan kaki yang dialaminya pada Januari lalu.

Sebagai rekod, beliau menyertai Suzuka secara pinjaman selama 18 bulan pada Jun tahun lalu.

“Saya harap dapat terus bermain dan menonjolkan karakter saya di atas padang.

“Saya berjaya kembali kerana sokongan semua pihak, dan kini saya mahu tingkatkan lagi prestasi,” katanya.

Miura sebelum ini memulakan karier di Brazil pada usia 15 tahun dan membuat debut profesional bersama Santos pada 1986.

Beliau kemudian pulang ke Jepun untuk menyertai Verdy Kawasaki membantu kelab itu memenangi dua kejuaraan J.League pada 1993 dan 1994.

Beliau menjaringkan 55 gol dalam 89 penampilan bersama skuad kebangsaan Jepun sebelum bersara daripada peringkat antarabangsa pada tahun 2000.

Sepanjang kariernya, Miura juga pernah bermain di Itali, Croatia, Australia dan Portugal.

Biarpun masih jauh untuk menyamai rekod pemain tertua dunia, Ezzeldin Bahader dari Mesir yang bermain pada usia 74 tahun, Miura kekal komited untuk terus bermain.

“Saya tidak pernah benar-benar fikir untuk bersara.

“Bukan kerana saya tak tahu maksudnya, tetapi kerana saya tak pernah rasa ingin berhenti,” katanya April lalu.



Source link

OR

Scroll to Top