am@hmetro.com.my
Kuala Nerus: “Kini sayalah ibu mereka. Saya akan jaga mereka seperti anak sendiri dengan penuh kasih sayang,” kata Rozilawati Mohamad, 43, kakak kepada Rohaida, 39, yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman dan kegagalan fungsi organ dalaman pada Jun lalu.
Rozilawati berkata, tanggungjawab menjaga tiga anak saudaranya, Nur Airisz Medinna Mohd Azizi, 6; Nur Airisz Soffea, 9, dan Nur Airisz Izzara Mohd Azizi, 12, dipikulnya selepas mereka kehilangan kedua orang tua.
Menurutnya, bapa kanak-kanak terbabit, Mohd Azizi Zaid, 37, yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori ikan meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada Januari lalu.
“Ketika hayatnya, arwah adik selalu berpesan supaya saya menjaga anak-anaknya sekiranya dia sudah tiada,” katanya ketika ditemui di majlis Penyampaian Faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang disempurnakan Pengarah Perkeso Terengganu Farihah Che Husin di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tengah, Manir di sini.
Turut hadir Guru Besar SK Kampung Tengah Syed Husni Syed Mohammad.
Rozilawati yang tinggal di Taman Cikgu Ismail Yusof 1, Banggol Tuan Muda di sini, bersama ibunya, Zaibah Abu, 72, dan seorang lagi anak saudara berusia lingkungan 20-an berkata, tiga kanak-kanak itu sangat manja dengannya kerana pernah tinggal bersama mereka di Kampung Tasek selepas bapa mereka meninggal dunia.
“Selepas kedua ibu bapa mereka sudah tiada, saya membawa mereka ke sini dan bersekolah di sini (Kampung Banggol Tuan Muda).
“Kasih sayang terhadap mereka semakin mendalam apabila mereka memanggil saya ‘mama’ dan panggilan membuatkan saya terharu serta sebak,” katanya.
Sementara itu, Farihah berkata, hasil maklumat mendapati kematian Rohaida yang pernah bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta adalah memenuhi syarat-syarat utama bagi waris menuntut Faedah Pencen Penakat, manakala arwah suaminya tidak memenuhi syarat utama caruman kerana kemalangan berlaku di luar waktu bekerja.
Katanya, tiga kanak-kanak terbabit menerima faedah pencen penakat sebanyak RM330 setiap bulan selain Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM3,000.
“Bayaran Faedah Pencen Penakat dibuat sehingga mereka berusia 21 tahun atau bukan lagi di bawah tanggungan atau hingga ke peringkat ijazah yang pertama.
“Mereka juga diiktiraf sebagai anak angkat Perkeso dan sudah menjadi kewajipan pihak kami memastikan kebajikan dan pembelajaran anak yatim piatu itu terus terbela,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd