Kinoshi mahu Selangor kekalkan identiti lawan Bangkok United

Kinoshi mahu Selangor kekalkan identiti lawan Bangkok United


PENGENDALI Selangor FC, Katsuhito Kinoshi menegaskan fokus utama The Red Giants menjelang aksi pembukaan Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) menentang Bangkok United petang ini adalah untuk mengekalkan corak permainan sendiri tanpa terlalu memikirkan kelebihan lawan.

Jurulatih berusia 61 tahun itu mengakui Bangkok Angels merupakan pasukan yang stabil dengan kombinasi tonggak import dari Serbia, Brazil dan Jepun yang mampu memberi keseimbangan kepada skuad tersebut.

“Bangkok United sebuah pasukan yang sangat seimbang dan dibarisi pemain import berkualiti.

“Dalam aksi terakhir mereka juga menunjukkan mentaliti yang kuat hingga berjaya meraih kemenangan,” katanya pada sidang media pada Rabu.

Kinoshi yang pernah berkhidmat sebagai penolong pengendali skuad kebangsaan Serbia dan beberapa kelab Eropah selama tiga musim, berkata pengalamannya itu memberi kelebihan dalam merangka strategi menghadapi kelab gergasi Thailand tersebut.

Beliau turut menyenaraikan Luka Adzic (Serbia), Seia Kunori (Jepun) dan Philipe Maia (Brazil) sebagai antara ancaman utama yang perlu diawasi Red Giants.

Bagaimanapun, beliau percaya kelebihan beraksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mampu dimanfaatkan untuk meraih keputusan positif.

“Kami sedar ia akan menjadi perlawanan sukar, tetapi yang lebih penting adalah bagaimana kami mengekalkan identiti Selangor. Tidak kira siapa lawan, yang penting ialah siapa diri kami dan bagaimana kami bermain,” tegasnya.

Dalam pada itu, pertahanan Selangor, Kevin Deeromram optimis pasukannya mampu bermula garang di laman sendiri.

Menurutnya, keputusan seri menentang juara Thailand, Buriram United dalam Kejuaraan Kelab ASEAN sebelum ini membuktikan keupayaan Selangor menyaingi kelab elit rantau ini.

“Kami pernah seri dengan Buriram, jadi tidak mustahil untuk kami meraih keputusan positif menentang Bangkok United,” katanya.

Tambah Deeromram, semua pemain kini berada dalam semangat terbaik untuk memastikan permulaan kempen ACL2 berlangsung lancar.

“Kami sudah bersedia sepenuhnya. Ia pasti perlawanan sukar tetapi dengan disiplin, fokus serta sokongan penyokong, saya yakin kami mampu memberikan aksi terbaik,” ujarnya.

 

Ringkasan AI

  • PENGENDALI Selangor FC, Katsuhito Kinoshi menekankan pentingnya mengekalkan corak permainan sendiri dalam perlawanan menentang Bangkok United
  • Bangkok United dikenali sebagai pasukan yang seimbang dengan pemain import berkualiti dari Serbia, Brazil, dan Jepun
  • Kinoshi mempunyai pengalaman sebagai penolong pengendali skuad kebangsaan Serbia, memberi beliau kelebihan dalam merangka strategi
  • Pemain seperti Luka Adzic, Seia Kunori, dan Philipe Maia dikenalpasti sebagai ancaman utama dari Bangkok United
  • Kevin Deeromram, pemain pertahanan Selangor, optimis pasukan dapat meraih keputusan positif berdasarkan prestasi sebelumnya seperti seri menentang Buriram United



Source link

OR

Scroll to Top