Kisah infak di Masjidil Haram

Kisah infak di Masjidil Haram


MAKKAH bukan sahaja menjadi kiblat bagi umat Islam, bahkan Tanah Suci itu turut menyimpan rahsia besar tentang keberkatan ibadah termasuk infak atau sedekah.

Firman ALLAH SWT: “Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada ALLAH, pinjaman yang baik (iaitu menginfakkan hartanya di jalan-NYA)? Maka DIA akan melipatgandakan balasan dengan berganda-ganda banyaknya.” (Surah al-Baqarah: 245)

Jika ganjaran sedekah di mana-mana sahaja sudah dijanjikan ALLAH berlipat kali ganda, maka bagaimana pula kedudukannya di Masjidil Haram iaitu masjid paling mulia di muka bumi ini?

Sinar Haramain kali ini berkongsi kisah mutawif, Dr Mohd Sabri Jamaludin yang berpengalaman membimbing jemaah umrah selama lebih 14 tahun.

DR MOHD SABRI (kanan) ketika membimbing jemaah umrah.

Menurut beliau, infak atau sedekah di Masjidil Haram mungkin kadangkala nampak kecil, namun kelebihan dan ganjarannya besar di sisi ALLAH SWT.

Dipermudahkan cium hajaralaswad

Jelasnya, beliau sendiri berkongsi pengalamannya ingin mencium hajaralaswad ketika berada berhampiran Kaabah.

“Antara perkara yang sunat dilakukan di Masjidil Haram adalah mencium hajaralaswad selain masuk dan beribadat di kawasan Hijr Ismail.

“Umat Islam sememangnya ramai di kawasan Kaabah, jika ingin mencium hajaralaswad, perlu berhadapan dengan ramainya orang yang ingin melakukan perkara sama.

“Apa yang saya terfikir ketika itu? Saya bersedekah kepada beberapa petugas pembersihan di kawasan Masjidil Haram dan pada masa sama saya berdoa agar dipermudahkan urusan untuk mencium hajaralaswad,” ceritanya ketika ditemui Sinar Islam Plus di Senawang, Negeri Sembilan.

Ujarnya, walaupun perlu menyelinap masuk bersama umat Islam lain, namun usaha untuk mencium hajaralaswad tersebut dipermudahkan ALLAH.

“Saya fikir ia mungkin salah satu kelebihan bersedekah. Kita permudahkan urusan orang lain yang memerlukan, ALLAH SWT mempermudahkan pula urusan kita,” ceritanya.

Raih ketenangan selepas bersedekah

Tambahnya lagi, salah seorang jemaahnya pernah merasakan ketenangan yang luar biasa selepas melakukan infak di Masjidil Haram.

MEMBERI jemaah lain air zamzam dan kurma juga sedekah yang sering dilakukan di Masjidil Haram. Foto Canva

MEMBERI jemaah lain air zamzam dan kurma juga sedekah yang sering dilakukan di Masjidil Haram. Foto Canva

Ketika itu jemaahnya itu mengadu kepadanya dia berdoa kepada ALLAH SWT, namun dia menyatakan rasa ‘tidak puas’ dan ‘tidak cukup’ sekadar berdoa.

“Jadi dia mengambil inisiatif membeli bekas air dan masuk ke kawasan Masjidil Haram, membantu orang lain yang berhajat untuk minum air zamzam.

“Itu juga salah satu bentuk sedekah yang boleh dilakukan di Tanah Suci dan menurut jemaah itu, dia merasakan ketenangan serta merasakan doanya seakan-akan diterima ALLAH SWT selepas dia melakukan khidmat tersebut,” katanya.

Infak eratkan ukhuwah

Walaupun adakalanya sedekah tersebut kecil, umpamanya memberikan gula-gula kepada kanak-kanak dan jemaah lain di sekitar Masjidil Haram, ia membawa makna yang besar.

“Di sana kita dapat merasai ukhuwah Islamiah sesama umat Islam yang datang dari pelosok dunia termasuk Eropah, Asia, Turkiye, Arab dan sebagainya, yang merangkumi berbagai-bagai bangsa.

“Jika sedekah makanan seperti nasi atau roti pula, ia memberi manfaat kepada umat Islam yang memerlukan di sana. Seperti kita tahu, tidak semua umat Islam yang berkunjung ke Makkah ini kaya dan berada, jadi sedekah seperti ini sangat membantu mereka,” katanya.

BERSEDEKAH gula-gula kepada kanak-kanak walaupun kecil, ia boleh mengeratkan hubungan sesama umat Islam. Foto Canva

BERSEDEKAH gula-gula kepada kanak-kanak walaupun kecil, ia boleh mengeratkan hubungan sesama umat Islam. Foto Canva

Oleh sebab itu ujarnya, di Masjidil Haram tidak disediakan tabung infak.

“Kerajaan Arab Saudi sendiri sememangnya sudah kaya dan tidak memerlukan duit sumbangan untuk menguruskan Tanah Suci.

“Hikmahnya, kita boleh memberikan infak itu kepada golongan yang benar-benar memerlukan seperti maksud sebenar sedekah itu sendiri iaitu pemberian kepada orang lain yang memerlukan dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT dan bukan semata-mata untuk mendapatkan ganjaran duniawi.

“Sedekah juga merupakan perbuatan memberi yang melambangkan kemurahan hati dan kepedulian, yang boleh dilakukan dalam bentuk wang, bantuan fizikal atau sebarang bentuk kebaikan lain,” jelasnya.

Ringkasan AI

  • MAKKAH menjadi kiblat umat Islam dan menyimpan rahsia besar tentang keberkatan ibadah termasuk infak atau sedekah
  • Infak atau sedekah di Masjidil Haram walaupun kecil, namun ganjarannya besar di sisi ALLAH SWT
  • Pengalaman mutawif, Dr Mohd Sabri Jamaludin bersedekah membuat proses mencium hajaralaswad dipermudahkan
  • Jemaah merasakan ketenangan luar biasa dan doanya diterima selepas melakukan infak di Masjidil Haram
  • Sedekah di Masjidil Haram eratkan ukhuwah sesama umat Islam dari seluruh dunia dan sangat membantu bagi mereka yang memerlukan



Source link

OR

Scroll to Top