Kita hanya tumpu kepada Harimau Malaya

Kita hanya tumpu kepada Harimau Malaya


Harimau Muda perlu diberikan tumpuan sama seperti skuad Harimau Malaya. Foto MALAYSIA NT

KEGAGALAN skuad bawah 23 tahun (B-23) negara melangkah lebih jauh dalam kempen Piala ASEAN B-23 perlu dijadikan cerminan terhadap kelompangan perancangan dan persiapan pasukan Harimau Muda.

Pemerhati sukan tanah air, Datuk Pekan Ramli berkata, ketiadaan perancangan rapi dan persiapan yang longgar antara faktor utama yang menyumbang kepada prestasi hambar pasukan.

Malah, beliau menyifatkan tumpuan yang lebih kepada skuad senior, Harimau Malaya dan mengabaikan skuad muda negara sebagai punca kegagalan tersebut.

“Kita pun tak dengar dan nampak yang pasukan kita mempersiapkan diri untuk kejohanan ini dengan serius.

“Kita membuat persiapan biasa sahaja dua minggu, lawan pun hanya dengan pasukan tempatan seperti Melaka, Negeri Sembilan dan PDRM. Itu tidak cukup.

“Kita juga tidak nampak pendedahan dari aspek psikologi atau pengalaman sebenar menentang pasukan kompetitif. Pemain-pemain ini masuk gelanggang tanpa persiapan mental dan taktikal secukupnya,” katanya kepada Sukan Sinar.

Menurut beliau, kegagalan ini tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu jurulatih kerana mereka turut berdepan pelbagai kekangan termasuk masa yang sangat terhad untuk menyediakan pasukan.

“Pasukan B-23 kita kali terakhir beraksi April tahun lalu. Selepas itu, barulah dikumpulkan semula untuk kejohanan ini.

“Kita tak berikan tumpuan langsung kepada pasukan B-23 sebaliknya tumpuan lebih kepada pasukan senior. Jika nak salahkan jurulatih atau pemain macam tak adil juga.

“Jadi jangan terlalu cepat mengecam atau menilai mereka tiada standard. Ini sahaja material yang kita ada sekarang. Baik atau buruk, mereka inilah harapan masa depan kita,” katanya.

Dalam aksi peringkat kumpulan Piala ASEAN B-23 baru-baru ini, Malaysia sekadar mengumpul empat mata selepas tewas 0-2 kepada Filipina, membelasah Brunei 7-1 dan seri tanpa jaringan menentang Indonesia.

Beliau turut menggesa agar skuad B-23 diberikan ruang dan peluang untuk terus dikumpulkan secara berkala bagi membentuk keserasian serta memperbaiki kelemahan sedia ada.

“Kita juga tidak tahu sama ada pemain-pemain muda ini akan mendapat peluang bermain selepas ketiadaan Piala MFL. Saya harap mereka akan dapat beraksi baik di Liga Super atau di Liga A1.

“Jadi, ini yang perlu dilihat kembali terutama untuk mereka menghadapi Kelayakan Piala Asia dan Sukan SEA nanti,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top