PEMAIN tempatan perlu memiliki mental yang kuat untuk berdaya saing dengan pemain warisan dan naturalisasi dalam era bola sepak moden.
Malah, bekas pemain pertahanan negara, Nidzam Jamil menegaskan pemain tempatan tidak seharusnya berasa gerun dengan kehadiran mereka.
Tegasnya, fenomena baharu yang melanda ekosistem bola sepak dunia itu juga perlu dilihat sebagai satu persaingan yang sihat dalam usaha memajukan skuad Harimau Malaya.
“Sejujurnya, kita tidak boleh lari daripada isu naturalisasi sebab telah banyak negara dalam dunia sudah menggunakan kaedah sama.
Nidzam (kanan) bersama Rosli selepas majlis pelancaran berkenaan pada Selasa.
“Saya rasa ini satu cabaran buat semua pihak untuk mewujudkan persiapan lebih baik. Ini juga cabaran bukan hanya mengenai pemain tapi juga kepada jurulatih.
“Sekiranya pemain tempatan kita mengaku kalah begitu saja, secara tidak langsung menunjukkan mental kita tidak cukup kuat untuk bersaing,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran buku ‘Bola Mental karya bekas pemain kebangsaan, Rosli Hussein di Stadium UM Arena, Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada Selasa.
Pada masa sama bekas pengendali kelab Liga Super, Selangor FC itu berharap penambahan pemain warisan dan naturalisasi tidak hanya akan memberi impak positif kepada pasukan negara tetapi juga kelab.
“Perkembangan ini juga perlu diterima dengan hati terbuka dan maklumbalas positif tidak hanya untuk peningkatan karier pemain muda tetapi juga perjalanan kelab dalam saingan liga,” katanya.