JOHOR Darul Ta’zim (JDT) kini berada dalam fasa transisi yang menyaksikan persembahan pasukan gergasi Liga Super itu musim ini tampak sedikit goyah.
Perkara itu dijelaskan pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail yang menyatakan perubahan besar telah dilakukan dalam struktur pasukan termasuk pelantikan jurulatih baharu, sistem permainan berbeza serta kemasukan ramai pemain baharu.
Baginda yang juga Pemangku Sultan Johor bertitah, kejayaan yang diraih beberapa tahun kebelakangan ini juga hasil daripada transisi yang telah dimulakan sejak 2018.
“Kita sekarang dalam fasa transisi. Jurulatih baharu, sistem baharu dan 70 peratus pemain juga baharu. Kalau kita lihat dalam kesebelasan utama hari ini, 80 peratus adalah muka baharu.
“Sebelum ini, kita berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah tiga tahun berturut-turut. Rekod itu tidak akan dapat diulang lagi. Ia antara yang terbaik dengan lebih 100 gol, tidak tewas dan jumlah bolos yang rendah. Tetapi, kita juga kena lihat berdasarkan fakta bagaimana kita mencapai hasil tersebut.
“Keputusan itu adalah kerana apa yang dilakukan pada 2018 dan 2019, barulah hasilnya muncul pada 2021, 2022 dan 2023. Itu pandangan saya. Pada 2018, kita buat transisi, tukar beberapa pemain, masukkan pemain muda, keluarkan pemain senior dan membawa staf kejurulatihan baharu,” titah baginda.
Baginda turut menegaskan bahawa proses peralihan kali ini adalah sebahagian daripada pelan jangka panjang kelab bagi memastikan JDT kekal relevan dan kompetitif untuk masa hadapan.
“Saya telah nyatakan kepada kelab bahawa selepas tiga tahun mengekalkan skuad yang sama, kita perlu mulakan satu lagi fasa transisi. Kali ini, kita lepaskan pemain senior secara berperingkat dan beri ruang kepada pemain muda.
“Jurulatih kali ini lebih muda, dengan falsafah yang sama tetapi kita perbaiki kaedah latihan dan penggunaan teknologi. Bila berlaku perubahan, pasti akan ada turun naik. Itu lumrah dalam proses pembaharuan,” titah baginda lagi.
Prestasi JDT musim ini menjadi persoalan selepas bermula goyah termasuk ketika dibolosi tiga gol di laman sendiri menentang Negeri Sembilan dalam aksi Liga Super baru-baru ini.
Tunku Mahkota Ismail turut menjelaskan mengenai perlawanan itu yang berpunca daripada kesilapan individu.
“Kalau kita lihat, sebelum ini kita tidak pernah bolos tiga gol di laman sendiri. Tetapi kali ini, ia bukan disebabkan pemain baharu.
“Berdasarkan rakaman video, jelas kesilapan itu bukan berpunca daripada keseluruhan pasukan, tetapi kesalahan individu. Kita bermain dengan formasi tiga pertahanan.
“Kita tidak sepatutnya buat perangkap ofsaid apabila bermain dengan tiga pertahanan. Mungkin kerana pendekatan ini masih baharu, ada satu atau dua pemain yang belum memahami taktikal sepenuhnya. Namun, perkara ini akan diperbaiki sepanjang musim,” jelas baginda.