PENGENDALI Brazil, Dorival Jr, menyahut cabaran untuk membuktikan kritikan terhadap pasukannya salah dengan menamatkan kemarau kemenangan ke atas musuh tradisi, Argentina, dalam pertembungan kelayakan Piala Dunia di Estadio Monumental, Buenos Aires pada Rabu ini.
Brazil gagal menewaskan juara dunia itu dalam tempoh enam tahun, dan rekod itu berlanjutan sehingga 16 tahun untuk perlawanan di tanah air Argentina.
Namun, selepas kemenangan 2-1 dramatik ke atas Colombia pada Khamis lalu, Dorival yakin pertembungan Rabu adalah peluang terbaik untuk membuktikan Brazil masih digeruni.
“Kita akan berdepan juara dunia dan Amerika Selatan, pasukan paling berjaya di dunia dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Kita akan turun untuk menang, bermain bola sepak terbaik dan menewaskan mereka di halaman mereka sendiri.
“Kita hidup dalam negara yang gemar mengkritik. Sayang sekali, tetapi itulah hakikatnya. Kita gemar mengkritik dan jarang memberi penghormatan yang sewajarnya tetapi masa akan membuktikan segalanya.
“Saya percaya pada kerja keras, dedikasi, hormat, dan kesungguhan dalam apa yang kita lakukan. Saya telah mengendalikan pasukan kebangsaan dalam 15 perlawanan,” kata Dorival dalam sidang media pada Isnin.
Sebagai rekod, kali terakhir Brazil menang di Argentina adalah pada 2009, kemenangan 3-1 di Santa Fe.
Sejak kemenangan 2-0 di separuh akhir Copa America 2019, Brazil tewas tiga daripada empat perlawanan terakhir menentang musuh tradisi mereka, semuanya 1-0.
Dorival masih belum berjaya meraih kepercayaan peminat Brazil yang menuntut kemenangan, selepas menang tujuh daripada 15 perlawanan sejak mengambil alih pada awal 2024.
Pasukan itu menghabiskan setahun di bawah dua jurulatih sementara selepas Persatuan Bola Sepak Brazil gagal memikat Carlo Ancelotti dari Real Madrid.
Kemenangan ke atas Colombia melonjakkan Brazil ke tangga ketiga kelayakan Amerika Selatan dengan 21 mata, satu mata di belakang Ecuador dan tujuh mata di belakang pendahulu, Argentina.
INFO
Enam pasukan teratas layak secara automatik ke Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Mexico, dan Kanada.