Kitar semula pakaian seragam kru penerbangan untuk baju sekolah

Kitar semula pakaian seragam kru penerbangan untuk baju sekolah


Luton, England: Syarikat penerbangan tambang murah easyJet mengitar semula ribuan pakaian seragam kru lamanya menjadi pakaian seragam sekolah bagi membantu keluarga yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.

Memetik laporan Mirror, syarikat penerbangan itu bekerjasama dengan badan amal tempatan, Level Trust yang berkhidmat di 75 sekolah di kawasan ini.

Ia bagi menyediakan pakaian seragam untuk menyokong kira-kira 45 peratus kanak-kanak yang hidup dalam kemiskinan di bandar itu.

Inisiatif mereka menyasarkan juruterbang dan kru kabin untuk menderma 100 peratus pakaian seragam lama mereka yang akan dikitar semula menjadi kemeja, skirt, blazer, jaket dan seluar.

Pakaian itu akan disediakan kepada pelajar tahun-tahun akhir melalui program ‘Uniform Exchange’ anjuran badan amal itu.

Langkah itu diambil susulan tinjauan mendapati 58 peratus daripada 2,000 ibu bapa mengakui mereka berdepan tekanan akibat peningkatan kos pakaian seragam sekolah.

Secara purata, sebanyak 256 pound sterling (kira-kira RM1,435) setahun dibelanjakan bagi pakaian seragam sekolah untuk seorang anak dengan jumlah keseluruhan melebihi 3,072 pound sterling (kira-kira RM17,300) sepanjang 12 tahun persekolahan.

Lebih satu pertiga ibu bapa (34 peratus) terpaksa mengorbankan barangan keperluan rumah bagi menampung kos pakaian seragam sekolah.

Hampir seorang daripada lima (19 peratus) menggunakan overdraf dan kad kredit untuk membeli pakaian seragam sekolah manakala 53 peratus melaporkan terpaksa membeli barangan baharu sebelum berakhirnya penggal pertama persekolahan.

Pengarah Perkhidmatan Kabin easyJet, Michael Brown yang melancarkan pakaian seragam kru baharu pada 10 November ini memaklumkan mereka berbangga memperkenalkan program kitar semula pakaian seragam ini dengan matlamat utama fasa pertama adalah untuk membantu ibu bapa yang menghadapi kesukaran kewangan disamping mengurangkan sisa tekstil.

“Pakaian seragam kru kami sentiasa melambangkan keprihatinan, profesionalisme dan perpaduan. Kami berbesar hati kerana nilai-niai itu kini dapat diteruskan ke bilik darjah bagi memperkasakan generasi akan datang,” katanya.

Tinjauan sama turut mendedahkan bahawa 76 peratus responden mahu melihat lebih banyak inisiatif komuniti yang disokong kerajaan manakala dua pertiga ibu bapa (66 peratus) memaklumkan mereka akan mempertimbangkan pakaian seragam terpakai atau kitar semula untuk menjimatkan wang.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top