KJ dakwa pernah nasihat Najib ambil tindakan pada Jho Low

KJ dakwa pernah nasihat Najib ambil tindakan pada Jho Low


PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pernah menerima nasihat supaya mengambil tindakan terhadap ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low ketika skandal syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berlaku.

Perkara itu diamklumkan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dalam audio siar (podcast) Keluar Sekejap, baru-baru ini.

Bagaimanapun, dakwa beliau, bekas Presiden UMNO itu enggan mengambil tindakan seperti yang dinasihatkan.

“Saya pergi jumpa dia dan saya cakap pada Najib bahawa dia perlu mengambil tindakan ke atas Jhow Low sekiranya ahli perniagaan itu terlibat. Itu dah membuka ruang untuk dia mengambil tindakan seperti mana dia sebut sekarang, bahawa dia terpedaya.

“(Tetapi dia) dia hanya memandang saya dan mengatakan bahawa Jhow Low merupakan ahli perniagaan yang sah dan tidak lama selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal dipecat, diberi arahan kepada semua anggota Jemaah Menteri supaya tiada lagi perbincangan mengenai 1MDB,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, Najib membuat permohonan maaf berhubung salah laku dalam 1MDB yang dibacakan oleh anaknya Datuk Mohamad Nizar.

Dalam kenyataan itu, Najib menyatakan beliau tidak bersalah dan meletakkan kesalahan kepada Jho Low dan eksekutif Petrosaudi.

Menurut kenyataan itu, Najib memberitahu beliau berasa amat terluka mengetahui segala kecurangan berlaku dalam 1MDB ketika berada bawah pengawasan beliau sebagai Menteri Kewangan dan Perdana Menteri ketika itu.

Mengulas lanjut, Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan itu berkata, Najib ketika itu memberitahu Kabinet bahawa semua urusan mengenai 1MDB akan diuruskan oleh beliau sendiri selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Beliau turut menafikan bahawa Jemaah Menteri sebelum ini seolah-olah tidak langsung membincangkan isu membabitkan skandal 1MDB.

“Itu tidak betul, kita bincangkan. Malah, selepas Muhyiddin dan Shafie dipecat, perbincangan masih lagi berlaku.

“Sampai satu tahap dia minta dengan nada tegas, mungkin antara kali pertama yang saya melihat Najib marah dalam Kabinet supaya (perkara tersebut) tidak dibangkitkan lagi (dan) dibincang,” jelasnya.

Sementara itu, Khairy berkata, Najib hanya mempunyai dua pilihan dalam kes 1MDB iaitu mengaku salahnya atau membuat permohonan maaf dan mengatakan dirinya tidak tahu serta ditipu.

“Sama ada dia bercakap yang dia bersalah, tahu apa yang dia buat dan berada di belakang skim ini atau mengatakan bahawa dirinya tidak tahu apa-apa,” katanya.





Source link

OR

Scroll to Top