PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) disarankan mendapatkan nasihat dan pandangan daripada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ) sebagai langkah penting untuk menstabilkan semula kepimpinan badan induk bola sepak negara yang kini berdepan kekosongan di peringkat tertinggi.Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan bahawa TMJ merupakan tokoh yang amat berpengaruh serta mempunyai kredibiliti tinggi dalam pembangunan bola sepak profesional tanah air, menerusi pencapaian konsisten Johor Darul Ta’zim (JDT) di peringkat domestik dan serantau.”Minta nasihat daripada ‘big boss’, tanya TMJ apa yang patut dibuat. Kita semua tahu perkara ini,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas susulan peletakan jawatan Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub sebagai Presiden FAM kelapan yang berkuat kuasa hujung bulan lalu.Kekosongan jawatan tersebut menyaksikan Timbalan Presiden, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dilantik sebagai pemangku presiden bagi memastikan kesinambungan urus tadbir persatuan.Bagaimanapun, Khairy berpandangan bahawa FAM perlu lebih berhati-hati dan tidak terburu-buru dalam membuat sebarang keputusan besar sepanjang tempoh peralihan ini, sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada penyelesaian kemelut kepimpinan terlebih dahulu.”FAM kena tarik ‘brek tangan’ dahulu. Isu kepemimpinan perlu diselesaikan kerana sekarang presiden sudah tiada, hanya ada pemangku presiden,” katanya lagi.Beliau turut menambah, mendapatkan input daripada TMJ merupakan langkah strategik yang bukan sahaja boleh merungkai kemelut semasa malah turut membantu menetapkan semula hala tuju dan budaya pengurusan bola sepak yang lebih profesional serta berkesan.
Source link
