September 8, 2024

KKDW adakan pemukiman di setiap agensi elak ketirisan, rugi

KKDW adakan pemukiman di setiap agensi elak ketirisan, rugi



farid_noh@bh.com.my

Kota Tinggi: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan mengadakan pemukiman dan bengkel di setiap Lembaga Kemajuan Wilayah serta agensi kementeriannya bagi memastikan perolehan dan pemulihan perniagaan dipantau rapi sekali gus berjaya dicapai mengikut sasaran.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia susulan kejayaan drastik langkah proaktif dilaksanakan kementerian terutama penetapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) selain susulan pemukiman KKDW yang diadakan awal tahun lalu.

Katanya, hasil pemukiman berkenaan, hala tuju yang jelas dapat digariskan selain pelaksaanaan pendekatan ‘Profit Centre Thinking’ yang menjadi kunci adalah kepada anak syarikat agensi di bawah kementerian mencatat keuntungan hanya dalam tempoh setengah tahun ini.

“Dalam tmpoh enam bulan pertama tahun ini, prestasi syarikat di bawah KKDW melonjak dengan cepat kerana tadbir urus dan tatakelola yang mengikut piawaian ditetapkan Kementerian Kewangan (MOF), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pekeliling Perbendaharaan.

“KKDW turut menambah beberapa prosedur operasi standard (SOP), terutamanya dari segi pulangan kepada pelaburan (ROI) yang berasaskan kepada prinsip untuk menukarkan syarikat di bawah kementerian menjadi ‘profit centre’ daripada ‘cost centre’.

“Sehubungan itu, rumusan pemukiman KKDW hari ini, saya memutuskan akan mengadakan pemukiman dan bengkel di setiap Lembaga Kemajuan Wilayah dan agensi kementerian mulai September depan yang dijangka berakhir akhir Oktober.

“Ini bagi membolehkan saya memantau sendiri dan memberikan input bagaimana perolehan bagi urusniaga dapat ditambah dan kita melakukan pemulihan pengurusan kepada agensi dan anak syarikat kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan rumusan di Pemukiman Program Utama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), di Pusat Konvensyen Desaru di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, menerusi pembentangan anak syarikat dan agensi KKDW pada pemukiman dua hari berakhir hari ini, mendapati semua syarikat telah mencapai prestasi yang diharapkan.

Katanya, syarikat-syarikat berkenaan tidak mencatatkan kerugian namun belum membuat keuntungan.

“Namun, saya yakin dengan penggabungan syarikat KKDW yang dilakukan dengan sinergi yang telah saya arahkan enam bulan yang lalu, kita akan melihat 100 peratus syarikat di bawah KKDW akan memberikan pulangan kuntungan dalam bentuk dividen kepada badan induk agensi yang ditubuhkan itu.

“Bagaimanapun, antara anak syarikat KKDW yang cemerlang dan melaporkan keuntungan setakat ini adalah RISDA Estate Sdn Bhd yang telah mencatatkan keuntungan RM7.1 juta; Kolej RISDA Sdn Bhd (RM1.26 juta); Sinergi Perdana Sdn Bhd (RM6.3 juta); KETENGAH Holding (RM8.66 juta), KETENGAH Perwira Sdn Bhd (RM14 juta) dan PERDA Venture Incorporated (RM2.7 juta),” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, KKDW juga menyasarkan semua Lembaga Kemajuan Wilayah di bawahnya untuk mampu membiayai kos pengurusan dan tanggungjawab sosial korporat (CSR), tanpa suntikan belanjawan daripada Kementerian Kewangan dan kementerian dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Bajet untuk KKDW bagi tahun ini adalah RM11.55 bilion, saya fikir untuk 10 tahun akan datang satu peratusan tertentu (pengurangan bajet) akan dapat kita unjurkan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top