KKM komited pembaharuan perkhidmatan penjagaan kesihatan rakyat

KKM komited pembaharuan perkhidmatan penjagaan kesihatan rakyat



asmaini@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Peruntukan sebanyak RM45.27 bilion diterima Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan kerajaan terus komited pembaharuan perkhidmatan penjagaan kesihatan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, KKM menerima peruntukan kedua tertinggi dengan peningkatan sebanyak RM4.05 bilion atau 9.83 peratus berbanding tahun 2024 iaitu sebanyak RM41.22 bilion.

Kata beliau, daripada jumlah itu sebanyak RM38.53 bilion adalah untuk Perbelanjaan Mengurus dengan peningkatan sebanyak RM3.38 bilion atau 9.62 peratus berbanding RM35.15 bilion pada tahun 2024.

“Sebahagian besar peruntukan ini adalah untuk meningkatkan kapasiti penyampaian perkhidmatan kesihatan melalui penambahan emolumen kakitangan kesihatan, pengoperasian fasililiti kesihatan, perolehan bekalan ubat, reagen, vaksin dan bahan guna habis (consumables) perubatan serta pemerolehan aset.

” Baki sebanyak RM6.74 bilion pula untuk Perbelanjaan Pembangunan dengan peningkatan sebanyak RM0.67 bilion atau 11.09 peratus berbanding RM6.07 bilion pada tahun 2024,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Dr Dzulkefly lagi, melalui peruntukan itu, KKM juga akan menumpukan pelaksanaan projek naik taraf dan baik pulih berorientasikan rakyat serta dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan terbaik dapat diberikan kepada rakyat.

Katanya, jika dibandingkan dengan keseluruhan Belanjawan Kerajaan Persekutuan 2025 yang berjumlah RM421 bilion, peruntukan kepada KKM adalah sebanyak 10.75 peratus.

” Ini menunjukkan bahawa kerajaan terus komited untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh dengan menyediakan capaian sejagat kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti.

“Perbelanjaan kesihatan ini adalah pelaburan yang diperlukan bagi memastikan rakyat Malaysia kekal sihat dan seterusnya boleh menyumbang secara produktif kepada ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, Belanjawan 2025 akan membolehkan KKM mengukuhkan perkhidmatan kesihatan demi meningkatkan kesejahteraan rakyat dengan memberi fokus perkhidmatan kesihatan daripada ‘sick care’ kepada ‘wellness’.

Pendekatan penjagaan kesihatan primer yang bersifat keseluruhan masyarakat akan diguna pakai untuk mewujudkan sistem penjagaan kesihatan yang lebih saksama, mampan, berdaya tahan dan berkualiti.

Pada masa sama, orang ramai akan terus dididik untuk menerima peralihan kendiri daripada rawatan penyakit kepada konsep pencegahan penyakit demi menambah baik, melindungi dan mengekalkan tahap kesihatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top