KKM mohon peruntukan tambahan untuk wad kelas 3, elaun petugas pedalaman

KKM mohon peruntukan tambahan untuk wad kelas 3, elaun petugas pedalaman


am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Peruntukan tambahan untuk meningkatkan keselesaan pesakit wad kelas 3 serta kenaikan elaun kakitangan perubatan yang bertugas di kawasan pedalaman antara cadangan dikemukakan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk Belanjawan 2026 nanti.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) KKM, Datuk Seri Zahrul Hakim Abdullah berkata, pihaknya mengemukakan lebih enam cadangan termasuk dua yang diberi penekanan dan berharap agar ada berita gembira buat kakitangan KKM.

“Untuk Belanjawan 2026, KKM sudah mengadakan beberapa siri libat urus bersama pemegang taruh serta Kementerian Kewangan (MoF) yang antara lain adalah untuk memohon peruntukan tambahan.

“Ada lebih enam cadangan yang berimpak besar dikemukakan antaranya peruntukan tambahan bagi meningkatkan keselesaan pesakit wad kelas 3 di hospital KKM terutama hospital utama.

“Selain itu, turut dimohon adalah tambahan elaun untuk petugas KKM di kawasan pedalaman dan kami sudah membuat perbincangan termasuk bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Zahrul Hakim berkata, tambahan elaun untuk petugas perubatan di kawasan pedalaman atau luar bandar perlu dipertimbangkan bagi kelancaran operasi di lapangan.

Meskipun menyedari kesemua cadangan yang dikemukakan memerlukan peruntukan besar, beliau berharap ia dapat diberi perhatian oleh MoF sekali gus memberikan berita gembira dalam pengumuman Belanjawan 2026 pada Oktober nanti.

“Peruntukan terbabit besar dan mungkin MoF akan tengok secara tuntas bagi memastikan perkhidmatan petugas KKM tidak terjejas maka kami harap dapat diberi pertimbangan untuk diumumkan nanti,” katanya.

Terdahulu beliau merasmikan Persidangan Perwakilan Dwitahunan ke-27 dan Mesyuarat Exco kali ke-132 Kesatuan Kebangsaan Penolong Pegawai Perubatan Semenanjung Malaysia di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Zaini Hussin.

Zahrul Hakim berkata, Penolong Pegawai Perubatan (PPP) sudah lama diiktiraf sebagai tulang belakang sistem kesihatan negara dan bahagian penting dalam Pelan Strategik KKM 2021-2025 khususnya agenda transformasi digital kesihatan.

“Cabaran dunia kesihatan semakin kompleks, memerlukan pemimpin yang bukan sahaja cekap dari aspek klinikal, tetapi bijak dari sudut teknologi kesihatan digital, pengurusan data, serta komunikasi efektif dengan masyarakat.

“Justeru, saya menyeru agar PPP muda berani melengkapkan diri dengan ilmu tambahan, sama ada dalam bidang ‘health informatics’, ’emergency medicine’, atau ‘public health’ agar mampu mendepani cabaran dan melakar masa depan kepimpinan kesatuan serta profesion,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top