KKR peruntukan RM2.5 juta untuk penyuraian trafik di Tapah

KKR peruntukan RM2.5 juta untuk penyuraian trafik di Tapah



am@hmetro.com.my

Tapah: Kementerian Kerja Raya (KKR) meluluskan peruntukan RM2.5 juta bagi melaksanakan pelan jangka pendek ke arah pelaksanaan sistem penyuraian trafik di sekitar Tapah, di daerah Batang Padang, di sini yang sering dilanda kesesakan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, peruntukan itu adalah bagi penyelesaian sementara ke arah cadangan pelaksanaan sistem jalan sehala secara kekal yang membabitkan Jalan Persekutuan, FT 001 iaitu di Seksyen 539-540 dan jalan di bawah pentadbiran Majlis Daerah Tapah (MDT).

Menurutnya, kelulusan peruntukan itu adalah bagi melakukan kaedah-kaedah yang sudah dipersetujui menerusi perbincangan termasuk dengan MDT bagi penyelesaian sementara seperti pasangan lampu isyarat pintar, atau kerja pembaikan seperti pengubahan bongkah konkrit.

Katanya, peruntukan itu akan disalurkan tahun ini menggunakan sebahagian peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) atau menerusi lebihan dari projek lain.

“Dalam jangka masa pendek, kelulusan RM2.5 juta akan diberikan selepas dipersetujui semua pihak terhadap kaedah-kaedah yang akan dilaksanakan sama ada ingin mengguna lampu isyarat pintar, sama ada ingin mematikan lampu isyarat, atau ingin membuat segala pembaikan dengan mengubah segala bongkah-bongkah konkrit dengan keadaan yang lebih cantik untuk pekan Tapah.

“Jadi komitmen saya hari ini serta Pengarah Negeri (Jabatan Kerja Raya- JKR) ialah mencari RM2.5 juta itu. Walaupun demikian, segala urusan bersama menangani masalah dengan peniaga dan sebagainya, saya harus serahkan kepada Pegawai Daerah dan Yang Dipertua MDT serta YB-YB (wakil rakyat) kita termasuk Ahli Parlimen,” katanya selepas meninjau sistem penyuraian trafik yang baharu dilaksanakan sekitar Pekan Tapah, di sini hari ini.

Kesesakan lalu lintas kerap berlaku di pekan Tapah sama ada pada hari biasa mahu pun pada waktu cuti persekolahan dan musim perayaan, dengan ketika ini tempoh ujian sistem jalan sehala itu sudah mula dilaksanakan sejak 23 Ogos lalu membabitkan penutupan dua kawasan persimpangan lampu isyarat.

Mengenai pelan jangka masa panjang pula, Ahli Parlimen Pontian itu berkata pihaknya mengarahkan agar penilaian serta perkiraan semula dilakukan terhadap kos RM17 juta yang dicadangkan oleh JKR negeri kerana melihat jumlah itu terlalu tinggi bagi pelaksanaan penyuraian trafik sejauh 200 meter.

RM17 juta itu, adalah cadangan bagi pembinaan pintasan sepanjang 200 meter termasuk menerusi pengambilan tanah dan pembinaan jambatan.

“Saya suruh mereka kira semula sebab ia cuma 200 meter dan kos itu pada saya ia tinggi. Jadi mungkin kena kira semula dari segi nilai tanah dan sebagainya kerana ia termasuk pengambilan balik tanah serta pengalihan utiliti,” katanya.

“Ia kena melalui pengurusan nilai dan nilai kejuruteraan di bawah kajian nilai. Dalam proses itu hendaklah ia dilalui, barulah kita dapat betul-betul kos yang tepat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top