mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pertembungan KL City dan Kuching City di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, esok bukan sekadar perebutan tiga mata, sebaliknya medan penentuan siapa benar-benar layak menduduki tangga kedua Liga Super.
Kedua-dua pasukan ketika ini berkongsi jumlah mata yang sama iaitu 24, namun Kuching City berada di posisi kedua manakala KL City menghuni tangga ketiga, menjadikan perlawanan ini ibarat ‘final kecil’ untuk memisahkan dua pencabar utama di belakang pendahulu liga.
Jurulatih KL City, Risto Vidakovic mengakui kepentingan perlawanan itu sambil memuji komitmen tinggi yang ditunjukkan pemainnya, termasuk dalam aksi terakhir, walaupun keputusan tidak sepenuhnya memihak kepada pasukannya.
“Saya berpuas hati kerana pemain-pemain saya sentiasa memberikan segalanya dalam perlawanan. Saya sentiasa meminta mereka memberikan 100 peratus, berjuang dan cuba bermain seperti yang kami rancang,” katanya.
Menurutnya, segala perbincangan dan perancangan yang dilakukan bersama pemain diterjemahkan dengan baik di atas padang, sekali gus membuktikan KL City memiliki kualiti untuk terus bersaing di kelompok teratas liga.
Vidakovic turut mengakui pendekatan terlalu bertahan selepas ketinggalan memberi ruang kepada lawan untuk menguasai permainan, satu perkara yang mahu diperbaiki menjelang pertemuan penting menentang Kuching City.
Perlawanan esok dilihat sebagai peluang terbaik buat KL City untuk membalas kepercayaan penyokong selain menjarakkan diri daripada pesaing terdekat, manakala Kuching City pula pastinya mahu mempertahankan kedudukan mereka di tangga kedua.
© New Straits Times Press (M) Bhd






