BANGKIT dari pelbagai cabaran awal musim, termasuk pemotongan enam mata, Kuala Lumpur City (KL City) tekad memberi tumpuan sepenuhnya untuk penamat cemerlang Liga Super.
Di bawah bimbingan pengendali Miroslav Kuljanac, mesejnya jelas iaitu memaksimumkan potensi dan memberikan persembahan terbaik – satu perlawanan pada satu masa baki saingan liga.
Dedikasi The City Boys terbukti dalam jadual latihan Ramadan mereka yang disesuaikan dengan sesi bermula pada jam 11 malam.
“Persiapan untuk perlawanan berjalan seperti biasa. Dengan bermulanya Ramadan, kami mula berlatih pada jam 11 malam,” dedah Kuljanac, menekankan keupayaan menyesuaikan diri dan komitmen pasukan.
Dengan pertembungan penting menentang Kedah Darul Aman FC di Stadium Darul Aman pada Jumaat, Kuljanac akui semangat pemain KL City melonjak.
“Dengan semangat juang yang tinggi, KL City bertekad untuk mendapatkan tiga mata di Alor Setar dan meneruskan momentum positif dalam baki perlawanan musim ini,” tegas Kuljanac.
Kuala Lumpur kini berada di kelompok pertengahan liga dengan 25 mata hasil sembilan menang, empat seri, tujuh tewas selepas mengharungi 20 perlawanan.
Kedudukan City Boys sepatutnya berada dalam kelompok empat terbaik jika tidak kerana dikenakan pemotongan enam mata First Instance Body (FIB), Ogos lalu akibat deklarasi tidak tepat semasa permohonan lesen kelab.
Selain pemotongan mata, ia merangkumi denda kewangan, dan larangan mendapatkan lesen Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Menyentuh mengenai matlamat akhir musim pasukan, Kuljanac menekankan usaha tanpa henti untuk mencapai kecemerlangan.
“Sasaran kami sentiasa untuk memberikan yang terbaik di padang. Kami berharap dapat menamatkan musim di kedudukan tertinggi dalam liga, mengikut situasi kelab.
“Kami memberi tumpuan untuk memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan dan melihat sejauh mana kami boleh pergi,” katanya.
Walaupun menghadapi cabaran skuad yang besar, dengan pemain utama Kenny Pallraj, Haqimi Azim, dan Adrijan Rudović diketepikan kerana penggantungan dan kecederaan, Kuljanac tetap optimis.
“Bagaimanapun, kami mempunyai pemain lain yang bersedia untuk mengisi kekosongan,” katanya.
LIGA SUPER
JUMAAT (7 MAC)
Kedah Darul Aman lwn Kuala Lumpur City
(Stadium Darul Aman, 10 malam)
Terengganu FC lwn Sabah FC
(Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, 10 malam)
SABTU (8 MAC)
Perak FC lwn Negeri Sembilan FC
(Stadium Majlis Perbandaran Manjung, 10 malam)
PDRM FC lwn Sri Pahang FC
(Stadium Majlis Perbandaran Selayang, 10 malam)