Safawi meledak jaringan buat KL City di Stadium Negeri Pulau Pinang. Foto MFL
KUALA LUMPUR City FC (KL City) membuka tirai kemenangan pertama Liga Super 2025/26 selepas menundukkan kelab baharu dari Liga A1 Semi-Pro, Imigresen FC 3-0 di Stadium Negeri Pulau Pinang.
The City Boys mendahului pada minit ke-30 hasil jaringan sendiri pemain tuan rumah, Rizal Ghazali, sekali gus membawa pelawat mendahului separuh masa pertama.
Safawi Rasid kemudian menggandakan jaringan pada minit ke-56 sebelum Manuel Hidalgo memastikan kemenangan mutlak menerusi sepakan penalti pada minit ke-83.
Di Stadium Negeri, Kuching, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak, Kuching City FC turut meraih tiga mata pertama musim ini selepas membenam Kelantan The Real Warriors FC (Kelantan TRW FC) 4-0.
Ronald Ngah menjadi wira dengan dua jaringan pada minit keenam dan ke-71, diikuti gol Joao Pedro (m-17) serta Ramadhan Saifullah pada minit ke-90+3, sekali gus memastikan pesta gol di laman sendiri.

Kedudukan Liga Super 2025/26.
Sementara itu, di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, PDRM FC mempamerkan kebangkitan luar biasa apabila bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat DPMM FC dari Brunei 2-2.
DPMM FC bermula garang menerusi jaringan pantas Ramadhan Sananta pada minit ketiga dan Miguel Oliveira (m-6) untuk mendahului babak pertama.
Namun, pemain import Korea Selatan, Park Tae-su, muncul penyelamat apabila meledak dua gol pantas pada minit ke-68 dan ke-72, sekali gus memastikan satu mata berharga buat Sang Saka Biru.