mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: KL City FC akhirnya menamatkan kemarau tiga perlawanan tanpa kemenangan apabila menumbangkan Imigresen FC 4-2 pada aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Kemenangan itu membolehkan anak buah Risto Vidakovic terus menghambat Kuching City FC (KCFC) di tangga kedua apabila terikat 28 mata, hanya dibezakan dengan perbezaan jaringan.
Aksi menarik disajikan kedua-dua pasukan dengan beberapa peluang dicipta namun KL City FC boleh dianggap tidak bernasib baik selepas dua jaringan pada babak pertama dibatalkan Video Bantuan Pengadil (VAR).
KL City FC memecah kebuntuan pada minit ketujuh menerusi Victor Ruiz namun dibatalkan VAR sebelum penjaga gol Imigresen FC, Zarif Irfan Hashimuddin menepis percubaan jarak jauh Syamer Kutty Abba pada minit ke-17.
Tuan rumah meledak gol pertama pada minit ke-31 selepas Paulo Josue menyudahkan hantaran lintang Kamal Azizi Zabri dan mereka tetap perlu VAR yang mengesahkan jaringan terbabit.
VAR sekali lagi menafikan gol kedua KL City FC yang dijaringkan Nicolao Dumitru pada minit ke-34 susulan ofsaid sebelum Quincy sekali menafikan percubaan Wilmar Jordan untuk kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat babak pertama.
Imigresen FC hanya memerlukan seminit selepas rehat bagi menyamakan kedudukan selepas Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam menyempurnakan hantaran Wilmar untuk perlawanan kembali seimbang.
Usaha keras Imigresen FC membuahkan hasil apabila mereka akhirnya memimpin perlawanan selepas gerakan solo Eduardo Sosa disudahkan dengan penyudah leret menewaskan Quincy pada minit ke-60.
Kedudukan itu bagaimanapun hanya bertahan tujuh minit apabila rembatan Josue dari luar kotak penalti menerjah gawang Imigresen FC sekali gus menjadikan kedudukan 2-2.
Tersentak dengan gol penyamaan itu, Imigresen FC tertekan apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain bermula minit ke-69 selepas Mior Dani Armin Mior Ariffen dilayangkan kad merah susulan kekasaran ke atas Ruiz.
Kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya KL City FC untuk meledak gol dua pantas dalam tempoh dua minit menerusi Safawi Rasid (m76) sebelum Safawi melakukan hantaran lintang yang ditampan Kpah Sherman (m78).
© New Straits Times Press (M) Bhd






