firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Keajaiban diperlukan oleh Kuala Lumpur City FC (KL City) dalam aksi terakhir Kumpulan B Kejuaraan Kelab Asean apabila turun menentang gergasi Thailand, Buriram United di Chang Arena, Buriram, malam esok.
Kemenangan ke atas lawan akan memastikan tiket ke separuh akhir menjadi milik skuad The Citys Boys namun tugas berkenaan dilihat sukar ekoran kehilangan hampir enam toggak utama pasukan.
Perkara itu diakui pengendali KL City, Miroslav Kuljanac yang menegaskan peluang anak buahnya masih ada biarpun sedar rintangan yang perlu ditempuhi berdepan juara sembilan kali Liga 1 Thailand itu.
“Berdasarkan situasi semasa kelab dan situasi kad merah dan kecederaan, saya akan cuba terbaik membariskan kesebelasan utama di mana kami juga miliki pilihan yang terhad di bangku simpanan untuk perlawanan esok.
“Saya tahu lawan berada pada kedudukan terbaik mereka di tangga teratas Liga Thailand dan mereka beraksi baik dalam Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).
“Tapi anda takkan tahu apa yang boleh berlaku dalam bola sepak. Kejutan boleh berlaku dan kita harap ia berlaku malam esok,” kata jurulatih dari Croatia itu.
Naib juara Piala AFC 2022 itu kehilangan ketua pasukan Paulo Josue dan Kamal Azizi yang digantung aksi kerana dilayangkan kad merah pada aksi sebelum ini, manakala Sean Giannelli, Brendan Gan, Anwar Ibrahim dan Nicholas Swirad belum cergas sepenuhnya selepas mengalami kecederaan.
Ketika ini, KL City menghuni tangga ketiga kumpulan dengan berkongsi mata sama bersama Buriram United, yang turut mengumpul enam mata di kedudukan kedua.
Kedua-dua pasukan perlu mencatatkan kemenangan untuk mengiringi kelab Vietnam, Cong An Ha Noi yang sudah pun mara lebih awal selepas meraih sembilan mata untuk berada di tangga pertama.
© New Straits Times Press (M) Bhd