KLAS renang inisiatif sukan buat warga emas

KLAS renang inisiatif sukan buat warga emas


PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) terus memperkukuh inisiatif sukan dalam kalangan warga emas dengan pelaksanaan Program Kemahiran Latihan Asas Sukan: Renang (KLAS Renang) tahun 2024.

Program ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan KBS memastikan golongan warga emas dapat menikmati kehidupan berkualiti melalui aktiviti sukan yang memberi manfaat kepada kesihatan mereka.

Dilancarkan pada 13 Mei 2023, KLAS Renang telah mencapai kejayaan cemerlang dengan penyertaan seramai 6,646 peserta di seluruh negara melibatkan kanak-kanak, golongan orang kurang upaya (OKU) serta warga emas.

Seperti sedia maklum, inisiatif ini bertujuan untuk mengurangkan kadar kematian akibat lemas dengan menyediakan latihan asas percuma yang penting untuk keselamatan dan kesejahteraan peserta.

Untuk tahun 2024, KLAS Renang mensasarkan penyertaan 8,800 peserta merangkumi kanak-kanak dari keluarga B40 berumur 6 hingga 12 tahun, kanak-kanak dan remaja OKU berumur 6 hingga 15 tahun serta warga emas berumur 60 hingga 75 tahun.

Program ini bertujuan untuk memperkenalkan teknik berenang yang betul dan selamat serta mengatasi ketakutan dalam air, seterusnya meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta terutamanya golongan warga emas.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menerusi Sesi Perbincangan Meja Bulat Pembudayaan Sukan dalam kalangan Warga Emas Siri 2 tahun 2024 berkata, populasi warga emas kini mencapai 11.1 peratus dan dijangka meningkat kepada 15 peratus menjelang 2030.

“Adalah penting untuk kita melaksanakan langkah-langkah proaktif dalam memastikan golongan ini terus kekal sihat secara fizikal, mental dan rohani,” katanya.

Sesi perbincangan tersebut turut menumpukan kepada pengukuhan peranan beberapa agensi kerajaan dalam membudayakan sukan dalam kalangan warga emas.

Selain itu, ia juga membincangkan pendekatan baharu bagi memperkasa usaha pembudayaan sukan, penyelarasan inisiatif sukan secara menyeluruh dan paling penting kerjasama dalam meningkatkan kesihatan warga emas.

Buat masa ini, sebanyak 15 agensi kerajaan, lima pertubuhan kerajaan (NGO) dan dua pakar rujukan turut dijemput bersama-sama berkongsi pendapat dalam memajukan sukan dalam kalangan masyarakat terutama untuk golongan warga emas.

Usaha ini selaras dengan kerangka Malaysia MADANI dan Visi Sukan negara 2030 (VSN), yang memfokuskan kepada pembangunan sukan yang lebih komprehensif dan berkualiti.

Dengan pelbagai inisiatif seperti KLAS Renang, KBS berharap agar lebih ramai lagi warga emas dapat memanfaatkan sukan sebagai medium untuk meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan mereka.

Untuk maklumat lanjut, klik pautan ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top