Klopp bakal ganti Nagelsmann?

Klopp bakal ganti Nagelsmann?

Klopp bakal ganti Nagelsmann?


Berlin: Julian Nagelsmann dilaporkan berada di ambang pemecatan sebagai pengendali Jerman susulan kegagalan skuad itu mara jauh pada Piala Dunia 2026, dengan bekas pengurus Liverpool, Jurgen Klopp muncul calon utama untuk mengisi kekosongan berkenaan.

Menurut laporan akhbar Bild, Nagelsmann mengadakan pertemuan selama kira-kira tiga jam dengan kepimpinan Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) di ibu pejabat badan itu di Frankfurt, sebelum dilaporkan ditawarkan pampasan sebanyak 7 juta euro (RM33 juta) bagi menamatkan kontraknya lebih awal.

Jurulatih berusia 38 tahun itu menjadi sasaran kritikan hebat selepas Jerman tersingkir seawal pusingan 32 terbaik susulan kekalahan mengejut kepada Paraguay.

Kontrak Nagelsmann, yang diperbaharui pada Januari tahun lalu, sepatutnya berlangsung sehingga 2028. Walaupun jumlah gajinya tidak pernah didedahkan secara rasmi, media tempatan melaporkan beliau menerima kira-kira 7 juta euro (RM33 juta) setahun.

Kegagalan meneruskan kemaraan selepas tewas menerusi penentuan penalti kepada Paraguay menyaksikan Jerman tersingkir awal daripada Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut, selepas turut gagal melepasi peringkat kumpulan pada edisi di Rusia dan Qatar.

Kekalahan itu juga menandakan aksi kalah mati pertama Jerman di pentas Piala Dunia sejak menjulang trofi dunia di Brazil pada 2014.

Presiden DFB, Bernd Neuendorf, pada Selasa lalu mengumumkan siasatan segera terhadap prestasi hambar skuad kebangsaan pada kejohanan berkenaan.

Menurut agensi berita sukan Jerman, SID, keputusan mengenai kedudukan Nagelsmann dijangka dimuktamadkan selewat-lewatnya awal minggu depan.

Sementara itu, beberapa media Jerman termasuk Sky dan Sueddeutsche Zeitung melaporkan Klopp berada di kedudukan teratas dalam senarai calon untuk menggantikan Nagelsmann.

Klopp meninggalkan Liverpool pada 2024 sebelum dilantik sebagai Ketua Bola Sepak Global Red Bull yang menyelia rangkaian beberapa kelab di Austria, Jerman, Brazil, Amerika Syarikat dan Jepun.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top