BEKAS pengendali Liverpool, Jurgen Klopp mendedahkan bahawa beliau pernah menolak tawaran untuk menjadi pengurus Manchester United kerana terdapat beberapa perkara dalam perbincangan bersama pihak kelab yang tidak disukainya.
Klopp mengakui ketika itu beliau merasakan peranan tersebut tidak sesuai dan datang pada waktu yang salah dalam kerjayanya.
Jurulatih dari Jerman itu akhirnya menolak tawaran United sebelum memilih untuk mengemudi Liverpool, yang kemudiannya menyaksikan beliau membawa The Reds menikmati era kejayaan berterusan di Anfield.
Sepanjang tempoh tersebut, Klopp membantu Liverpool mengatasi pencabar utama dari utara England itu, namun segalanya mungkin berbeza sekiranya beliau menerima tawaran United selepas meninggalkan Borussia Dortmund.
Difahamkan Klopp merupakan antara calon yang dipertimbangkan untuk menggantikan David Moyes pada tahun 2014, namun beliau memilih untuk terus kekal di Bundesliga ketika itu.
Bercakap dalam podcast Diary of a CEO, Klopp mendedahkan bahawa beliau berasa ragu-ragu selepas berbincang dengan barisan pengurusan tertinggi United.
“Sukar untuk dijelaskan kerana ini bukan ruang peribadi, tetapi dalam perbualan itu ada individu yang saya tidak suka.
“United pada masa itu seperti berfikir, ‘kami boleh dapat semua pemain yang kami mahu, kami akan dapat dia, kami akan dapat dia’, dan saya duduk di situ sambil terfikir, apakah ini semua,” katanya.
Klopp menegaskan bahawa beliau tidak merasakan projek tersebut sesuai dengan visinya.
“Ia bukan projek saya, ia tidak terasa seperti projek saya. Masa itu salah, dan di atas semua itu, ia bukan projek saya. Saya tidak mahu bawa (Paul) Pogba. Dia pemain sensasi, tetapi perkara seperti itu biasanya tidak berhasil.
“Atau Cristiano (Ronaldo), semua orang tahu dia antara pemain terbaik dunia bersama (Lionel) Messi. Membawa dia kembali tidak akan membantu. Pada tahun 2013 itu, bukan tentang Cristiano, mungkin Paul, saya tidak pasti, tetapi ideanya seperti, ‘kita himpunkan semua pemain terbaik dan teruskan’.
“Ia langsung bukan tentang bola sepak, jadi saya tahu itu bukan untuk saya,” katanya.
Ringkasan AI
- Jurgen Klopp menolak tawaran menjadi pengurus Manchester United kerana beberapa perkara dalam perbincangan yang tidak disukainya
- Beliau merasa peranan tersebut tidak sesuai dan datang pada waktu yang salah dalam kariernya
- Klopp memilih untuk mengemudi Liverpool, membawa era kejayaan berterusan di Anfield
- Klopp ragu-ragu selepas berbincang dengan barisan pengurusan tertinggi United yang membuatkan beliau tidak suka kepada beberapa individu
- Beliau tidak merasakan projek United sesuai dengan visinya, merujuk pada pendekatan mereka untuk mengumpulkan pemain terbaik tidak selaras dengan prinsip beliau dalam bola sepak