Klopp enggan jadi pembawa malang

Klopp enggan jadi pembawa malang


BEKAS pengendali Liverpool, Jurgen Klopp mendedahkan rancangannya kembali ke Anfield musim ini, namun bimbang dianggap sebagai pembawa malang ketika The Reds hampir meraih gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).

Klopp belum kembali ke Merseyside sejak meninggalkan kelab itu pada penghujung musim lalu yang menyaksikan beliau meraih kejuaraan EPL, Liga Juara-Juara selain memenangi Piala FA dan dua Piala Liga Inggeris sepanjang tempoh sembilan tahun di bumi England.

Ketiadaan Klopp telah memberi peluang kepada Arne Slot untuk menikmati musim sulung yang cemerlang tanpa gangguan.

Liverpool kini mendahului saingan EPL di hadapan pencabar terdekat, Arsenal.

“Buat masa ini, saya agak keberatan untuk kembali ke Anfield kerana tidak mahu dilihat sebagai pembawa malang sekiranya Liverpool mengalami kekalahan.

“Tetapi mungkin pada perlawanan terakhir (menentang Crystal Palace di Anfield) dan pada masa itu saya akan berada di tempat duduk penonton,” kata Klopp dalam sebuah majlis amal di Afrika Selatan baru-baru ini.

Bulan lalu, Slot mendedahkan beliau telah menjemput Klopp sebanyak dua kali untuk kembali ke Anfield iaitu pada perlawanan menentang Manchester City dan Real Madrid.

Malah, Slot mengakui tiada masalah menerima kehadiran Klopp pada bila-bila masa termasuk di pusat latihan di Kirkby.

Klopp telah menikmati masa rehat selepas meninggalkan Liverpool musim panas lalu, sebelum memulakan peranan baharunya sebagai Ketua Bola Sepak Global untuk Red Bull pada awal Januari.



Source link

OR

Scroll to Top