Klopp tak rindu Anfield

Klopp tak rindu Anfield

Klopp tak rindu Anfield


BEKAS pengendali Liverpool, Jurgen Klopp mendedahkan beliau tidak merindui kehidupan di Anfield selepas meninggalkan dunia kejurulatihan.

Pengurus dari Jerman itu menghabiskan sembilan tahun bersama The Reds sebelum melepaskan jawatan pada 2024.

Walaupun timbul spekulasi bahawa Klopp bakal kembali segera ke dunia pengurusan pasukan lain, beliau hingga kini kekal menjauhkan diri daripada bangku jurulatih selepas kejutan pengunduran tersebut.

Tahun lalu, Klopp dilantik sebagai Ketua Global Bola Sepak Red Bull dengan memantau projek kelab di bawah naungan syarikat itu termasuk RB Leipzig, RB Salzburg dan New York Red Bulls.

Dalam satu temu bual bersama The Athletic, Klopp menegaskan dia tidak menyesal dengan keputusan meninggalkan Anfield dan kini lebih selesa menjalani kehidupan bersama keluarga.

Ketika ditanya sama ada beliau masih mengikuti perkembangan Liverpool selepas berundur, Klopp menafikannya.

“Langsung tidak. Saya gembira dengan prestasi Liverpool. Saya ada menonton beberapa perlawanan, tetapi bukan seperti ‘Oh, Sabtu mesti tengok perlawanan’.

“Saya tidak tahu pun bila perlawanan bermula. Saya benar-benar keluar (daripada dunia itu). Saya bersukan, luangkan masa bersama keluarga dan cucu, menikmati kehidupan normal sambil tahu saya akan bekerja lagi.

“Tetapi saya juga tahu, saya tidak mahu lagi bekerja sebagai jurulatih,” katanya,

Kenyataan itu sekali gus menutup khabar angin bahawa Klopp bakal menggantikan Laurent Blanc yang baru dilepaskan Al-Ittihad di Liga Pro Saudi.

Walaupun mengakui pintu untuk kembali ke dunia kejurulatihan mungkin terbuka pada masa depan, Klopp menegaskan pada ketika ini fokusnya bukan lagi di padang latihan.

“Itu yang saya fikir sekarang. Tetapi kita tidak tahu. Saya berusia 58 tahun. Jika saya kembali pada umur 65 tahun, orang akan cakap, ‘dulu awak kata tak mahu lagi (menjadi jurulatih)’.

“Saya minta maaf, masa itu saya memang fikir begitu. Buat masa ini, saya tidak rindukan apa-apa,” katanya.

Ringkasan AI

  • Klopp mendedahkan beliau tidak merindui kehidupan di Anfield selepas meninggalkan dunia kejurulatihan
  • Pengurus dari Jerman itu menghabiskan sembilan tahun bersama The Reds sebelum melepaskan jawatan pada 2024
  • Tahun lalu, Klopp dilantik sebagai Ketua Global Bola Sepak Red Bull
  • Dalam satu temu bual, Klopp menegaskan dia tidak menyesal meninggalkan Anfield dan kini lebih selesa menjalani kehidupan bersama keluarga
  • Klopp menutup khabar angin tentang kembalinya ke dunia kejurulatihan dan menegaskan fokusnya bukan lagi di padang latihan



Source link

OR

Scroll to Top