KO bergaya, Jojo tutup mulut pengkritik

KO bergaya, Jojo tutup mulut pengkritik


saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jaguh muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar bersyukur kerana tidak pernah ambil pusing kritikan yang sering dilemparkan kepadanya selama ini sebelum dirinya kembali bangkit melakar kemenangan.

Menerusi perkongsian di Instagram miliknya, Johan atau lebih mesra disapa Jojo berkata, ramai pihak yang memperkatakan mengenai dirinya, termasuk meragui kemampuan bakatnya.

“Sepanjang hidup saya, ramai yang meragui saya. Ada yang kata saya tiada bakat, agak berlebihan dan tidak akan pernah berada di kedudukan saya hari ini.

“Saya bersyukur kepada Tuhan setiap hari kerana saya tidak pernah mendengar kata-kata kosong yang mereka cuba tanam dalam fikiran saya.

“Tapi… pada tahap tertentu saya faham, memang sukar untuk melihat tanpa rasa sedikit cemburu. Muda, kacak, kaya dan terkenal.

“Cemburu tidak akan membawa anda ke mana-mana. Belajarlah untuk meraikan kejayaan orang lain dan masanya anda akan tiba. Sayang anda semua, jaga diri,” katanya.

Pada Sabtu lalu, Johan mencatat kemenangan Technical Knockout (KO) bergaya ke atas lawan dari Maghribi, Zakaria El Jamari, dalam masa hanya dua minit 10 saat dalam kategori flyweight pada kejohanan ONE Fight Night 35 di Stadium Lumpinee, Thailand.

Kemenangan sulung Johan tahun ini menutup episod dua kekalahan berturut-turut yang dialaminya sebelum ini.

Johan tunduk kepada Johan Estupinan menerusi keputusan sebulat suara Januari lalu dan tewas kepada Diego Paez menerusi ‘split decision’, Jun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top