Amorim menganggap Mainoo tidak memiliki karakter untuk menjadi pilihan utama di bahagian tengah United. Foto Agensi
KOBBIE Mainoo dilaporkan mahu meninggalkan Manchester United selepas semakin disisihkan pengendali baharu, Ruben Amorim.
Pemain tengah berusia 20 tahun itu langsung tidak diturunkan dalam dua aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Malah, Mainoo diturunkan daripada pilihan utama kepada pemain simpanan sejak pulih daripada kecederaan pada Disember lalu.
United dikhabarkan bersedia mempertimbangkan tawaran sesuai, namun masalah utama ketika ini ialah kekurangan kelab yang berminat pada penghujung jendela perpindahan yang bakal ditutup Isnin ini.
Mainoo sebelum ini berada dalam kesebelasan utama England ketika tewas kepada Sepanyol pada final Euro 2024, kurang dua bulan selepas meledak gol buat United dalam kemenangan final Piala FA menentang Manchester City.
Bagaimanapun, kariernya mula merudum di bawah kendalian Amorim yang menegaskan Mainoo perlu bersaing dengan kapten, Bruno Fernandes untuk mengisi posisi tengah.
Jurulatih dari Portugal itu masih belum menemui peranan sesuai buat Mainoo dalam sistem 3-4-3.
Amorim percaya produk akademi United itu tidak memiliki karakter untuk menjadi pilihan utama di bahagian tengah, malah prestasinya di posisi lebih hadapan juga gagal memikat.
Dalam pada itu, Daily Mail melaporkan Mainoo berada dalam radar Real Madrid dan Atletico Madrid sebagai pemain pinjaman, namun United hanya bersedia melepaskannya secara kekal.