Kok Keong, Bobby Ertanto hidupkan aura badminton di Temerloh

Kok Keong, Bobby Ertanto hidupkan aura badminton di Temerloh


AURA bekas dua jaguh badminton dunia menyerikan daerah ini apabila Datuk Foo Kok Keong dari Malaysia dan Bobby Ertanto Kurniawan dari Indonesia dibawa khas oleh Kelab Badminton Mentakab ke Majlis Perbandaran Temerloh (MPT).

Kehadiran kedua-dua legenda yang pernah menggegarkan pentas badminton antarabangsa itu bertujuan merancakkan serta membantu meningkatkan lagi kualiti sukan tersebut, khususnya di Temerloh.

Rizal (tengah,duduk) bergambar kenangan bersama Kok Keong,Bobby serta ahli kelab itu sempena pertemuan tersebut.

Kok Keong, 62, yang terkenal dengan semangat juang luar biasa berkata, beliau gembira dengan pertemuan tersebut.

Beliau yang kini bertindak sebagai penasihat kelab sejak tujuh tahun lalu serta aktif sebagai duta pelbagai produk menegaskan perlunya fasiliti bertaraf tinggi.

Foo Kok Keong

Foo Kok Keong

“Saya berharap MPT dapat membantu mewujudkan lokasi atau venue mengikut piawaian supaya pertandingan peringkat kebangsaan atau antarabangsa dapat dianjurkan di Temerloh.

“Dengan populariti sukan badminton dan kini juga pickleball, situasi ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui pada perjumpaan antara kelab itu yang diwakili Presidennya, Ngoh Kwee Meng dan MPT melalui Yang Dipertuanya, Rizal Mustafa, di sini pada Isnin.

Sementara itu, Bobby yang pertama kali berkunjung ke Temerloh berkata, beliau amat berbesar hati dengan jemputan berkenaan.

“Saya berharap pertemuan ini dapat membantu kelab dalam usaha membangunkan dan memajukan sukan ini di sini,” kata bekas pemain beregu dunia berusia 65 tahun itu.

Dalam pada itu, Kwee Meng memaklumkan kelab tersebut aktif menganjurkan pertandingan tahunan, dan edisi seterusnya dijadual berlangsung pada Disember depan.

Ngoh Kwee Meng

Ngoh Kwee Meng

“Kita akan menjemput pemain luar negara antaranya dari Singapura, Hong Kong, Indonesia dan Brunei untuk pertandingan tersebut.

“Namun, buat masa ini kita masih tiada venue yang sesuai untuk kejohanan bertaraf kebangsaan atau antarabangsa di daerah ini,” jelasnya sambil menambah kelab itu kini mempunyai kira-kira 80 ahli sejak ditubuhkan pada 2018.

Rizal pula menghargai kunjungan Kok Keong dan Bobby bersama pihak kelab, yang disifatkan sebagai sejarah tersendiri kerana MPT buat pertama kali menerima kunjungan dua legenda badminton dunia.

“Kita mengalu-alukan cadangan yang dikemukakan oleh kelab ini, dan akan meneliti lokasi yang sesuai untuk dinaik taraf selain mempertimbangkan sebarang bentuk kerjasama,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top