PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) memperkukuh struktur kejurulatihan skuad kebangsaan dengan membawa kembali dua bekas jurulatihnya, Teo Kok Siang dan Wong Pei Tty.
Kok Siang dilantik sebagai jurulatih beregu campuran, manakala Pei Tty menggalas tanggungjawab sebagai jurulatih beregu wanita.
Mereka akan memulakan tugas secara rasmi pada 1 September ini.
Menurut BAM, kepulangan kedua-dua jurulatih berkenaan membawa pengalaman luas serta pemahaman terhadap program pembangunan kebangsaan, sekali gus diyakini mampu membantu meningkatkan prestasi pemain di pentas antarabangsa.
“Pelantikan mereka adalah sebahagian daripada usaha berterusan BAM untuk memperkukuh struktur kejurulatihan dengan menghimpunkan barisan jurulatih berpengalaman bagi menyokong pembangunan teknikal, taktikal dan keseluruhan pemain kebangsaan,” kata BAM dalam kenyataan pada Jumaat.
Kok Siang, yang juga bekas pemain kebangsaan, pernah berkhidmat selama lima tahun dalam program beregu lelaki peringkat remaja dan senior BAM sebelum meninggalkan badan induk itu pada 2022.
Kepulangannya kali ini menyaksikan beliau menyertai pasukan kejurulatihan beregu campuran sedia ada.
Pei Tty pula bukan nama asing dalam arena badminton negara apabila pernah menghuni ranking nombor satu dunia dalam beregu wanita selain mewakili Malaysia pada Sukan Olimpik 2004 di Athens dan 2008 di Beijing.
Bekas pemain itu sebelum ini turut pernah berkhidmat sebagai jurulatih beregu wanita BAM dan kini kembali dengan misi membantu memperkasa pembangunan pasangan beregu wanita kebangsaan.
BAM berkata, pengalaman serta pengetahuan kedua-dua jurulatih itu terhadap program kebangsaan dijangka menjadi aset penting dalam usaha meningkatkan daya saing pemain negara.
