Kuala Lumpur : Selepas discaj atau keluar dari hospital, ada pesakit yang tidak pasti rawatan susulan dan pemantauan hingga terpaksa berdepan tekanan emosi sendirian.
Lebih membimbangkan, sebahagian pesakit akhirnya ‘hilang’ daripada sistem penjagaan kesihatan sehingga keadaan kembali merosot.
Isu itu juga mendapat perhatian apabila IDEAL Health Care tampil mengetengahkan realiti sebenar yang dihadapi pesakit di luar hospital.
Menurut Pengasas dan Pengarah Urusannya, Dr Faizi Rosli, sistem penjagaan kesihatan hari ini masih terlalu memfokuskan kepada rawatan di hospital, tanpa kesinambungan yang jelas selepas pesakit discaj.
“Ramai menganggap rawatan selesai apabila pesakit keluar dari hospital. Tetapi perjalanan sebenar pesakit bermula di situ daripada fasa pemulihan sehinggalah kepada pengurusan jangka panjang, termasuk kesihatan mental.
“Tanpa sistem yang saling berhubung, pesakit berisiko mengalami komplikasi semula, gagal meneruskan rawatan dan berdepan tekanan emosi yang sukar ditangani,” katanya ketika ditemui pada majlis IDEAL-Fitri Open House 2026 di Setiawangsa, di sini.
Bagi menangani jurang ini, IDEAL memperkenalkan pendekatan kesinambungan penjagaan merentasi komuniti, sebuah model yang menghubungkan rawatan hospital, klinik komuniti dan sokongan kesihatan mental dalam satu ekosistem bersepadu.
Melalui kerjasama strategik bersama Remedine Clinic TTDI dan NH Edu-Health Management Sdn Bhd, pendekatan ini memastikan pesakit terus dipantau selepas keluar dari hospital, menerima intervensi awal jika perlu serta mendapat sokongan psikologi sepanjang proses pemulihan.
Pada masa sama, IDEAL turut mengalu-alukan kerjasama bersama pihak hospital bagi menjamin kesinambungan rehabilitasi dan rawatan klinikal, fizikal serta mental bagi pesakit selepas discaj.
Katanya, apa yang membezakan model ini adalah penekanannya terhadap penjagaan menyeluruh, bukan sekadar merawat penyakit tetapi memastikan pesakit benar-benar pulih dan mampu menjalani kehidupan dengan lebih baik.
Menurut Dr Faizi, usaha berkenaan bukan sekadar satu kerjasama tetapi langkah awal ke arah membina sistem penjagaan kesihatan yang lebih tersusun, berhubung dan berpusatkan pesakit.
Inisiatif itu dipercayai antara yang pertama seumpamanya di Malaysia yang digerakkan oleh sebuah pusat rehabilitasi di peringkat komuniti.
Inisiatif itu dimeterai secara rasmi sempena IDEAL-Fitri Open House 2026 sebagai simbol komitmen untuk memastikan tiada pesakit yang tercicir dalam perjalanan mereka menuju pemulihan sebenar.
© New Straits Times Press (M) Bhd






