Kombinasi lama, baharu buat Harimau Malaya lebih segar

Kombinasi lama, baharu buat Harimau Malaya lebih segar


Syamer (kiri) menyifatkan gabungan pemain berpengalaman dan tenaga baharu sebagai positif buat skuad Harimau Malaya.

PEMAIN tengah, Syamer Kutty Abba menyifatkan gabungan pemain berpengalaman dan muda mampu menjadi platform terbaik untuk membentuk keserasian dalam skuad negara.

Pemain Penang FC itu berkata, kombinasi skuad bimbingan Pau Marti Vicente tersebut juga menyuntik dinamik segar dalam skuad Harimau Malaya.

Malah tambah beliau, aksi persahabatan menentang New Zealand di Aucland pada 14 Oktober ini menjadi medan terbaik buat persiapan pasukan menjelang Piala AFF akhir tahun ini.

“Keberadaan pemain muda bersama pemain berpengalaman adalah satu perkembangan yang positif.

“Ia memberikan dinamik baharu kepada pasukan dan memupuk bakat muda sebagai penyumbang kepada peningkatan prestasi.

“Selain berusaha untuk mencapai kemenangan, adalah penting bagi kami untuk berintegrasi dengan baik, terutama menjelang bulan Disember ini,” katanya.

Syamer juga melihat perlawanan tersebut mampu membantu pasukan kebangsaan untuk menjadi lebih baik.

“Ini juga merupakan pengalaman baharu untuk melihat sejauh mana kami dapat berkembang.

“Bagaimana cara untuk memperbaiki kelemahan yang ada, agar pasukan dapat menjadi lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Pau Marti telah memanggil tiga muka baharu bawah 23 tahun (B-23) dari Johor Darul Ta’zim (JDT) II dan Selangor FC (SFC) bagi beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang New Zealand.

Mereka ialah penjaga gol SFC, Azim Al Amin Kamaruddin serta pemain muda dari skuad B-19 kebangsaan yang baharu kembali dari Kelayakan Piala Asia B20 2025 di Tajikistan iaitu penjaga gol Haziq Aiman Mohd Esa (JDT II) dan Haykal Danish Mohd Haizon (Selangor B-23).

Kali terakhir Harimau Malaya bertemu New Zealand adalah pada 2006 di bawah kendalian ketua jurulatih Norizan Bakar.

Dalam perlawanan persahabatan tersebut, Malaysia tewas 1-0 di Christchurch pada 19 Februari diikuti dengan kekalahan 2-1 di Auckland, empat hari kemudian.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!



Source link

OR

Scroll to Top