Komitmen berterusan demi Harimau Malaya

Komitmen berterusan demi Harimau Malaya


BANK Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) terus memperkukuhkan komitmen terhadap pembangunan bola sepak tanah air menerusi pembaharuan kerjasama strategik bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), yang kini memasuki kali kelima.

Perjanjian itu meliputi pelbagai inisiatif pemasaran bersama dan kesinambungan program Kad Debit-i Jenama Bersama Team Harimau, yang telah memainkan peranan penting dalam menyokong skuad kebangsaan, Harimau Malaya.

Majlis menandatangani perjanjian tersebut berlangsung di Menara Bank Islam, disempurnakan Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan-Perbankan Runcit Bank Islam, Mizan Masram dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman.

“Kami percaya bola sepak menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang. Melalui kerjasama ini, Bank Islam mahu terus menjadi sebahagian daripada semangat perpaduan itu.

“Kami berbesar hati kerana sekali lagi diberi kepercayaan untuk menyumbang secara langsung dalam pembangunan bola sepak negara,” ujar Mizan selepas majlis menandatangani pembaharuan perjanjian FAM dan Bank Islam di Menara Bank Islam, pada Jumaat.

Turut menyaksikan majlis itu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd Muazzam Mohamed serta Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin.

Di bawah kerjasama ini, Bank Islam akan terus menganjurkan pelbagai program pengaktifan secara digital dan fizikal di lokasi-lokasi melibatkan acara FAM.

Ini termasuk penyediaan reruai khas pada hari perlawanan, aktiviti penjenamaan bersama, pertandingan peminat serta kandungan media sosial bertemakan Harimau Malaya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemasaran dan Penajaan FAM, menzahirkan penghargaan kepada Bank Islam atas sokongan yang berterusan sejak lebih 12 tahun lalu.

“Bank Islam bukan sekadar penaja, malah muncul sebagai rakan strategik sejati FAM. Mereka bukan sahaja menyumbang dalam bentuk kewangan, malah memperkukuh jenama bola sepak tempatan dan membantu membina ekosistem bola sepak negara secara menyeluruh.

“Kerjasama ini telah berkembang daripada perkongsian komersial kepada perkongsian nilai dan aspirasi yang selari dengan visi FAM untuk melahirkan pemain, jurulatih dan pegawai teknikal bertaraf antarabangsa,” katanya.

 



Source link

OR

Scroll to Top