Kompany panjangkan ikatan di Munich

Kompany panjangkan ikatan di Munich


KEJAYAAN membawa Bayern Munich mengekalkan dominasi domestik menjadi asas kepada keputusan kelab gergasi Jerman itu menambah tempoh kontrak Vincent Kompany selama dua tahun lagi hingga 2029.

Pengendali dari Belgium itu, yang tiba di Allianz Arena tahun lalu dengan kontrak asal sehingga 2027, berjaya menghadiahkan kejuaraan Bundesliga dalam musim pertamanya pencapaian yang segera menambat hati pengurusan dan penyokong kelab.

Musim ini, Bayern terus gah di puncak carta Bundesliga dengan rekod sempurna tujuh kemenangan daripada tujuh perlawanan, termasuk kejayaan menundukkan musuh tradisi Borussia Dortmund 2-1 dalam aksi Der Klassiker hujung minggu lalu.

“Saya rasa seolah-olah sudah lama bersama Bayern kerana hubungan dengan kelab ini sangat mendalam. Ia satu perjalanan indah yang baru bermula kami mahu terus bekerja keras dan mencipta lebih banyak kejayaan,” kata Kompany dalam kenyataan kelab.

Kompany, 39, turut membawa Bayern mencatat 11 kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan, termasuk saingan Liga Juara-Juara menjelang pertemuan menentang Club Brugge, awal pagi Khamis.

Presiden kelab, Herbert Hainer menyifatkan lanjutan kontrak itu sebagai bentuk penghargaan atas sumbangan luar biasa Kompany serta simbol kestabilan di kelab paling berjaya di Jerman itu.

“Perjanjian baharu ini tanda kepercayaan besar terhadap kerja keras dan falsafah beliau. Vincent dihormati oleh pemain, pengurusan dan penyokong kami gembira dapat meneruskan kerjasama ini lebih awal daripada dijadualkan,” ujar Hainer.

Kompany mula mengemudi Bayern selepas proses panjang mencari pengganti Thomas Tuchel tahun lalu.

Beliau sebelum itu memulakan karier kejurulatihan bersama Anderlecht di Belgium sebelum menyertai Burnley pada 2022, di mana beliau membawa kelab itu naik ke Liga Perdana Inggeris dengan tujuh perlawanan berbaki melalui corak permainan menyerang berasaskan penguasaan bola.

Bagaimanapun, Burnley gagal mengekalkan tempat di EPL musim berikutnya selepas menamatkan saingan di tangga ke-19.

Namun, pengalamannya membina pasukan muda berdisiplin dan berpaksikan bola sepak moden menjadi antara faktor utama Bayern memilihnya sebagai arkitek baharu era kejayaan kelab itu.

 

LIGA JUARA-JUARA

KHAMIS (23 OKTOBER)

Athletic Bilboa lwn Qarabag FK

 

(Stdm San Mames, 12:45 pagi)

Galatasaray lwn Bodø/Glimt

 

(RAMS Park, 12:45 pagi)

Arsenal lwn Atletico Madrid

 

(Stdm Emirates, 3 pagi)

Chelsea lwn Ajax Amsterdam

 

(Stdm Stamford Bridge, 3 pagi)

Real Madrid lwn Juventus

 

(Estadio Santiago Bernabeu, 3 pagi )

Sporting Lisbon lwn Marseille

 

(Stdm José Alvalade, 3 pagi)

AS Monaco lwn Tottenham

 

(Stade Louis II, 3 pagi)

Atalanta BC lwn Slavia Praha

 

(Stdm Gewiss, 3 pagi)

Eintracht Frankfurt lwn Liverpool

 

(Deutsche Bank Park, 3 pagi)

 

Bayern Munich lwn Club Brugge

 

(Stdm Allianz Arena, 3 pagi)

 



Source link

OR

Scroll to Top