Kompetensi Makmal Forensik Digital SPRM diiktiraf – Azam

Kompetensi Makmal Forensik Digital SPRM diiktiraf – Azam



harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Makmal Forensik Digital Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima Sijil Akreditasi ISO/IEC 17025:2017.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pengiktirafan akreditasi ini ditauliahkan kepada Bahagian Forensik Digital (BFT) SPRM menerusi Makmal Forensik Digital, 13 November lalu.

“Pengiktirafan ini mencerminkan tahap profesionalisme SPRM dalam memastikan makmal ini beroperasi berdasarkan keperluan ISO 17025:2017 yang merupakan standard antarabangsa untuk mengesahkan kompetensi makmal pengujian dan kalibrasi.

“Ia adalah tanda aras keupayaan teknikal Makmal Forensik Digital SPRM untuk menghasilkan keputusan analisis forensik

yang tepat serta mematuhi aspek sistem pengurusan, pengesahan kaedah analisis, kawalan proses analisis dan kompetensi personal makmal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pengiktirafan ini menandakan hasil analisis forensik digital SPRM bukan sahaja diiktiraf di Malaysia malah di peringkat global.

Katanya, ia membuka ruang kepada penyelidik tempatan bekerjasama dengan pakar antarabangsa dalam bidang penyelidikan dan siasatan.

“Akreditasi yang diperoleh BFT SPRM melibatkan empat skop iaitu forensik komputer; forensik audio video dan imej; forensik telefon bimbit serta forensik tulisan tangan pengubahsuaian dokumen dan ‘stamp impression’.

“Dengan pencapaian ini, BFT kini mempunyai mandat untuk memastikan semua proses analisis forensik digital berjalan mengikut piawaian yang telah ditetapkan.

“Akreditasi yang diterima Makmal Forensik Digital SPRM bukan sahaja mampu memberikan sokongan teknikal yang lebih baik kepada operasi siasatan tetapi juga meningkatkan kredibiliti dan kebolehpercayaan di peringkat antarabangsa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top