CARACAS – Penetapan sebuah kartel Venezuela sebagai organisasi pengganas asing (FTO) oleh Washington berkuat kuasa Isnin, membuka ruang kepada tekanan baharu Amerika Syarikat terhadap Presidennya, Nicolas Maduro.
Senarai FTO yang diselia Jabatan Negara AS itu merangkumi kumpulan Islamis, pemisah, gerila dan sejak kebelakangan ini, kumpulan jenayah serta sindiket dadah dari Mexico dan Colombia.
Mulai Isnin, senarai itu akan memasukkan “Cartel de los Soles” (Kartel Matahari), yang didakwa Washington dikendalikan Maduro. Kumpulan gelap itu bertanggungjawab atas “keganasan pengganas di seluruh rantau kita,” kata Setiausaha Negara Marco Rubio.
Langkah itu adalah sebahagian kempen pentadbiran Trump terhadap dadah dan imigresen haram dari Amerika Latin.
Menteri Pertahanan Venezuela tinjau latihan tentera dengan sistem peluru berpandu Igla-S susulan ketegangan dengan kehadiran kapal pengangkut pesawat AS. – AFP
Tiada bukti awam dikemukakan bagi menyokong tuduhan penglibatan Maduro dalam kumpulan itu.
Namun dengan kehadiran ketenteraan besar di Caribbean, termasuk sebuah kapal pengangkut pesawat, penyenaraian FTO itu memberi ruang undang-undang untuk tekanan lebih keras terhadap pihak berkuasa Venezuela.
Setakat ini, tentera AS dilaporkan membunuh sekurang-kurangnya 83 orang dalam serangan udara ke atas bot yang dituduh membawa dadah di perairan antarabangsa sejak September, menurut kiraan AFP berdasarkan angka yang didedahkan.
Namun, tiada bukti awam bahawa bot berkenaan membawa dadah.
Trump awal bulan ini menyatakan bahawa “hari-hari Maduro sudah dihitung” dan media AS mendakwa pemimpin Republikan itu telah meluluskan operasi sulit Agensi Perisikan Pusat (CIA) di Venezuela.
Definisi senarai FTO tidak menyebut tindakan ketenteraan, namun dalam satu temu bual Jumaat, Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth memberi bayangan bahawa klasifikasi baharu itu akan membawa “pelbagai pilihan baharu”.
“Kenaikan tekanan ini mewujudkan persepsi bahawa satu serangan hampir berlaku,” kata Juan Manuel Trak, seorang akademik di Mexico.
Namun profesor sains politik, Alexis Alzuru, berkata jika serangan berlaku ia akan terhad kepada “beberapa landasan udara berkaitan pemerdagangan dadah” jauh dari pusat bandar.
Penyenaraian FTO menjadikan sebarang sokongan kepada organisasi tersebut sebagai satu kesalahan.
Ahli ekonomi berkata ia mampu mengukuhkan lagi rejim sekatan AS terhadap Venezuela, termasuk embargo minyak, memaksa Caracas menjual minyak pada harga diskaun di pasaran gelap.
Keadaan itu boleh terus melumpuhkan ekonomi negara yang sudah dibelit hiperinflasi.
Buat masa ini, Washington masih membenarkan Caracas mengeksport minyak di pasaran gelap dan tidak menyentuh lesen Chevron di negara itu.
Armada AS “belum merampas mana-mana kapal, tetapi (penyenaraian ini) boleh membuka kemungkinan itu dari segi undang-undang,” kata pakar minyak Francisco Monaldi.
Pada Jumaat, Maduro menghadiri sambutan Hari Pelajar, menegaskan beliau tidak akan gentar dengan “helah” Washington.
Kerajaan Venezuela terus menonjolkan imej kekuatan, dengan latihan ketenteraan kerap dilakukan dan komander tertinggi menyatakan kesetiaan mutlak kepada Maduro.
“Jika rangkaian itu tidak retak dan memaksa Maduro berunding, “kebarangkalian rundingan dengan Amerika Syarikat hampir sifar,” kata Alzuru.

Orang ramai sertai protes “Keamanan dengan Venezuela” menentang penempatan tentera AS di hadapan White House. – AFP
Maduro berkata beliau sedia berbincang “bersemuka” dengan Trump, yang turut memberi bayangan pertemuan “pada suatu ketika”.
Trak percaya “sangat tidak mungkin” Maduro akan tumbang atau pembangkang yang diketuai Maria Corina Machado akan berkuasa.
“Trump mungkin mempertimbangkan akses kepada sumber mineral Venezuela sebagai pertukaran untuk mengurangkan ketegangan di Caribbean dan memudahkan peralihan dalaman tertentu di Venezuela,” kata Trak. – AFP






