Konflik Iran-Israel: 17 rakyat Malaysia berjaya dibawa keluar

Konflik Iran-Israel: 17 rakyat Malaysia berjaya dibawa keluar


SEPANG: Seramai 17 rakyat Malaysia termasuk enam tanggungan warga Iran dan seorang warga Singapura berjaya dibawa pulang ke tanah air susulan ketegangan memuncak di Iran waktu ini.

Mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan Malaysia Airlines MH781 sebentar tadi.

Wisma Putra berkata, mereka melalui sempadan Iran-Turkmenistan semalam dan kemudiannya berjaya menaiki penerbangan Turkmenistan Airlines T5 647 hari ini.

Kumpulan tersebut seterusnya tiba di Bangkok, Thailand untuk transit sebelum menaiki MH 781 untuk pulang ke tanah air.

“Proses evakuasi ini berjaya dilaksanakan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Tehran, melibatkan perjalanan darat sejauh 1,120 kilometer ke pintu sempadan Iran–Turkmenistan.

“Urusan penerbangan dari Ashgabat, Turkmenistan ke Bangkok, Thailand dan seterusnya ke Malaysia turut dibantu serta diselaraskan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Ashgabat dan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok,” katanya pada sidang akhbar di sini malam ini.

Perang antara Iran dan Israel yang kian meruncing apabila Amerika Syarikat (AS) bertindak menggugurkan bom di tiga pusat nuklear Iran.

Sebagai tindak balas, Iran terus melancarkan serangan melalui Pilihan peluru berpandu terhadap Israel sehingga menyebabkan 23 penduduk negara haram itu cedera.

Wisma Putra turut merakamkan penghargaan dan terima kasih
kepada kerajaan Iran, Turkmenistan dan Thailand atas kerjasama erat yang diberikan.

Katanya kerjasama diberikan tiga buah kerajaan itu membolehkan proses membawa pulang rakyat Malaysia berlangsung lancar dan berkesan.

“Proses evakuasi ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Malaysia dalam menjamin keselamatan dan kebajikan warganegara, selaras dengan nilai teras Ihsan dalam kerangka Malaysia Madani,” katanya.

Katanya Kedutaan Malaysia di Ashgabat, turut membantu pergerakan dan penerbangan warganegara Brunei dari Turkmenistan pulang ke negara asal masing-masing.

“Penglibatan seorang warganegara Singapura dalam operasi evakuasi ini serta bantuan kepada warganegara Brunei turut mencerminkan kesediaan Malaysia menghulurkan bantuan kepada rakyat negara anggota ASEAN, sejajar dengan semangat solidariti serantau,” katanya. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top