KETEGANGAN antara Israel dan Iran kini mencapai kemuncaknya apabila kedua-dua negara terlibat dalam serangan berskala besar yang mengorbankan ratusan nyawa, termasuk orang awam.
Serangan balas antara rejim Zionis dan Republik Islam Iran bukan lagi berlaku secara proksi, sebaliknya sudah memasuki fasa perang terbuka yang menggoncang geopolitik Timur Tengah.
Israel baru-baru ini melancarkan operasi berskala besar yang menyasarkan kemudahan nuklear dan ketenteraan Iran.
Sebagai tindak balas, Iran pula membedil Tel Aviv dan bandar-bandar utama Israel dengan misil dan dron.
Setakat artikel ini ditulis, sekurang-kurangnya 639 rakyat Iran terkorban termasuk anggota pasukan keselamatan, manakala serangan balas Iran menyebabkan 24 rakyat Israel maut dan lebih 1,200 lagi cedera, lapor kumpulan hak asasi manusia berpangkalan di Washington, Human Rights Activists.
Serangan ke atas hospital dan infrastruktur awam di kedua-dua negara mengundang kecaman antarabangsa dan kebimbangan terhadap tercetusnya perang lebih luas.
Dalam kekalutan ini, apakah wajar umat Islam hanya memerhati dari jauh atau hanya membiarkan perbezaan mazhab menjadi alasan untuk tidak bersuara menentang kezaliman? Apa sebenarnya sikap kita sebagai Muslim?
Pensyarah Jabatan Usul Al-Din, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Datuk Dr Muhammad Ayman Al-Akiti menjelaskan, sokongan terhadap pihak yang dizalimi tidak harus dipandang dari sudut mazhab, fahaman politik mahupun agama dianutinya.
“Kalau jelas orang itu dizalimi, Muslim ke atau bukan Muslim…kita tolong,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video ‘Menjawab isu Iran-Israel’ yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.
Jelas beliau lagi, apa yang berlaku kepada Iran adalah satu ujian dan tanda daripada ALLAH SWT untuk melihat sejauh mana umat Islam bersatu dan peka terhadap ketidakadilan.
“Sedangkan Iran kalau mereka Syiah sekalipun, mereka masih syahadah dan ahli kiblat.
“Maka tiada sebab untuk kita tak nak sokong (menentang kebenaran dalam menghadapi rejim zalim seperti Israel),” jelas agamawan itu.
Apatah lagi, jelas Dr Muhammad Ayman, doa orang yang dizalimi termasuk bukan Islam tetap dimakbulkan oleh ALLAH SWT.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru umat Islam agar melihat sesuatu isu dengan dari perspektif keadilan dan nilai ihsan, bukan sentimen mazhab atau kepentingan politik dan seumpamanya.
“Apabila berlaku peperangan seperti ini, kita seharusnya menilai diri sendiri, apakah kita menjadi umat yang taat kepada ALLAH dengan bersatu menghadapi kezaliman atau kita masih berpecah atas perbezaan yang tidak memudaratkan akidah?
“Apa pun, kita perlu ingat bahawa segala peristiwa besar ini adalah sebahagian daripada perancangan ALLAH SWT yang MAHA SEMPURNA untuk menguji keimanan dan kebersatuan umat akhir zaman,” katanya.
Konflik Israel-Iran sudah bermula sejak Revolusi Islam Iran pada 1979 lagi apabila Tehran secara terbuka menentang kewujudan negara haram Israel.
Ketegangan itu kemudian berlanjutan dalam bentuk perang proksi melalui kumpulan seperti Hezbollah di Lubnan dan Hamas di Palestin yang disokong oleh Iran.
Pada 7 Oktober 2023, serangan besar Hamas terhadap Israel mencetuskan gelombang balas dendam.
Sejak itu, Iran dan Israel terlibat dalam siri serangan tidak langsung, sebelum akhirnya memasuki konflik berskala besar pada 13 Jun lalu melalui ‘Operation Rising Lion’ oleh Israel ke atas kemudahan nuklear Iran.