Penganjuran kongres khas DAP pada 12 Julai depan bukan isyarat pergolakan, sebaliknya medan muhasabah untuk menilai prestasi parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Kongres Khas DAP pada 12 Julai
Memetik laporan daripada Bernama, Pengerusi DAP Pulau Pinang yang juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC), Steven Sim memberi jaminan bahawa semua parti komponen kerajaan tidak perlu berasa gusar dengan langkah tersebut. Tegasnya, DAP tidak akan mengkhianati kerajaan atau membelakangkan kepentingan rakyat.
“Saya tahu ada segelintir pemimpin parti komponen yang mungkin berasa bimbang apabila Setiausaha Agung DAP (Anthony Loke) mengumumkan akan mengadakan kongres khas bagi membincangkan kedudukan DAP dalam Kerajaan Perpaduan. Saya ingin tegaskan, jangan bimbang.
“Apa jua keputusan DAP, kita tidak akan mengkhianati dan membelakangi kepentingan rakyat,” katanya ketika berucap pada Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina DAP Pulau Pinang di Butterworth malam tadi.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, Penasihat DAP, Lim Guan Eng serta ahli politik veteran, Lim Kit Siang.

Kongres Khas DAP beri ruang perwakilan tentu hala tuju
Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke memaklumkan kongres khas itu akan memberi ruang kepada perwakilan menentukan sama ada pemegang jawatan parti perlu melepaskan semua jawatan dalam kerajaan.
Beliau turut menegaskan bahawa 40 Ahli Parlimen DAP akan terus menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sehingga tamat penggal.

Dalam pada itu, Steven Sim yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menjelaskan kongres berkenaan menjadi medan penilaian kendiri untuk ahli di seluruh negara, termasuk menilai kedudukan dan prestasi parti dalam kerajaan serta sejauh mana kepentingan rakyat terus dipelihara.

Artikel lain: Steven Sim masuk hospital, doktor nasihat untuk berehat seketika
Beliau turut menyarankan ahli DAP Pulau Pinang agar mengambil peluang sebelum kongres berlangsung untuk turun padang bertemu pengundi dan rakyat, bagi mendapatkan pandangan serta kritikan supaya maklum balas yang dibawa benar-benar mencerminkan suara rakyat.
Sumber: Bernama





