Kongsi ilmu celik emas

Kongsi ilmu celik emas


asyikin.mat@hmetro.com.my

INISIATIF wanita ini menjadi pembeli peribadi (‘personal shopper’) emas dalam talian memberi pengaruh yang besar kepada ramai wanita lain untuk membeli barang kemas berkenaan.

Ini kerana semakin ramai wanita berminat membeli barang kemas yang bukan sekadar suka-suka tetapi sebagai aset simpanan jangka panjang.

Peranan itu diperluaskan dengan penubuhan Modern Gold Lovers (MGL) iaitu komuniti peminat emas eksklusif daripada kedai emas terkenal pada 2020.

Pengasasnya Musliana Abdul Khamal,44, berkata, setakat ini MGL sudah mempunyai 78,000 peminat emas wanita yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Menurutnya, pada masa sama MGL menjadi platform menggalakkan dan membuka mata ramai wanita membeli serta menyimpan emas.

“Kami menjalinkan kerjasama dengan kedai emas terkenal itu menerusi penganjuran program bersama untuk mengajak peminat barang perhiasan ini datang dan membeli emas di kedai berkenaan.

“Sebelum ini mereka sangat skeptikal dengan menganggap harga barang kemas di kedai emas terkenal mahal menyebabkan tidak berani untuk mengunjunginya.

“Bagaimanapun persepsi itu berubah apabila menjadi komuniti ini (MGL) dan emas adalah barangan sasaran mereka,” katanya.

Katanya, tidak dinafikan masih ada wanita yang ragu-ragu untuk membeli emas dan tertanya-tanya adakah menyimpan emas lebih bagus daripada wang.

“Persoalan sedemikian timbul kerana mereka kurang pendedahan dan ahli dalam komuniti ini akan mempengaruhi mereka untuk membeli emas.

“Saya sebagai pengasas MGL dan memiliki banyak pengalaman dengan ‘dunia’ emas sering berkongsi maklumat kelebihan membeli barang perhiasan mewah ini.

“Malah, saya juga selalu kongsi koleksi baharu emas dalam komuniti ini. Ini mempengaruhi mereka untuk beli emas mengikut rekaan yang diminati.

“Pendekatan ini membantu mereka menjadi lebih berani dan memahami konsep membeli emas yang betul iaitu membeli barang kemas apabila ada lebihan wang,” katanya.

Musliana berkata, individu yang lebih suka menyimpan wang di tempat yang tidak mendatangkan keuntungan adalah satu tindakan salah.

“Berbanding emas yang ada peningkatan harga dan boleh dijual apabila kesempitan serta memerlukan wang. “Oleh itu, disarankan memulakan simpanan emas dengan membeli pada jumlah kecil secara konsisten yang lama kelamaan menjadi banyak.

“Ada ahli kumpulan ini bermula tiada emas dan kini memiliki lebih 10 gram emas,” katanya.

Berkongsi sejarah penubuhan MGL Musliana berkata, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 ada sekatan perjalanan tetapi permintaan terhad barang kemas tinggi.

“Ketika itu ramai yang menawarkan perkhidmatan sebagai pembeli peribadi termasuk saya.

“Tetapi, tugas ini agak mencabar kerana mereka (pembeli peribadi) perlu beratur panjang dan mengambil masa lama untuk mendapat giliran membeli emas.

“Ini mendorong saya mengubah pendekatan dan kemudiannya menawarkan perkhidmatan pembeli peribadi di sebuah kedai barang kemas terkenal,” katanya,

Katanya, situasi itu mencetuskan idea menubuhkan MGL dan pembeli barang kemas secara dalam talian.

“Di MGL, ahli komuniti menjual dan membeli barang kemas sesama mereka pada harga berpatutan.

“Berbanding menjual di tempat kebiasaan, ia mempunyai susut nilai yang agak banyak bagi barangan ekslusif dan merugikan pelanggan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top