Perkongsian terkini pempengaruh media sosial, Rosix Omar yang memberi bayangan rakan baiknya, usahawan, Noor Nabila bakal bertunang dalam masa terdekat ini.
Menerusi hantaran di Instagram Story (IGs) miliknya, Rosix memuat naik beberapa video memaparkan momen kakak kepada selebriti, Noor Neelofa ini melihat kawasan dipercayai untuk mengadakan acara hari bahagia itu.
Lebih mencuri tumpuan, perunding perancangan perkahwinan terkenal, Reka Teemor turut dilihat dalam video tersebut mengadakan perbincangan bersama Nabila terutamanya dalam memberikan konsep dan susun atur majlis tersebut.
Berdasarkan konsep yang ditunjukkan, majlis bahagia tersebut berkemungkinan bertemakan Moroccan.
“Perbincangan sangat serius ya ini. Mungkin 18 April ini akan ada sesuatu. Nantikan ya,” katanya.
Sementara itu, Rosix turut sempat mengusik Nabila bertanya sama ada akan berlaku majlis penting pada tarikh tersebut.
“Nabila, ada majlis tunang ke? Ke majlis apa ni 18 April ni?,” soalnya.
Ibu anak satu itu yang kelihatan tersipu malu tersenyum dan menjawab ringkas.
“Nantikan dalam Melodi, serius ni,” ujar Nabila.

Sebelum ini, Nabila mencuri tumpuan apabila memaklumkan dia sedang menyulam cinta bersama jejaka dikenali sebagai Mr. AA sejak April tahun lalu.
Meskipun berbeza usia 10 tahun, namun Nabila menyifatkan Mr. AA seorang yang pandai memasak, matang, dan mempunyai naluri kebapaan semula jadi.
Sekadar info, Nabila pernah mendirikan rumah tangga bersama aktor, Sharnaaz Ahmad pada Mac 2017 namun sah bercerai talak satu pada Julai 2020.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Jebat Jayden.
Nabila kemudian berkahwin dengan usahawan, Engku Emran pada Mac 2021 namun perkahwinan tersebut turut terlerai pada September 2023.






