Pendakwah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful Jamalullail atau dikenali sebagai Da’i Syed berkongsi berita gembira apabila isterinya, Hana Ismail selamat melahirkan bayi anak kedua mereka.
Menerusi perkongsian di Instagram, Da’i Syed memaklumkan, anak keduanya itu selamat dilahirkan pada jam 12.36 pagi pada Selasa.
“Alhamdulillah, masyaa-Allah. Telah lahir anak kami pada jam 12.36 tadi @hanaalmauzah.
Dalam pada itu, Da’i Syed berkata, bayi kedua mereka itu sepatutnya dilahirkan pada penghujung Oktober ini.
Bagaimanapun, memandangkan dia dilahirkan pada bulan yang sama maka, dia bernazar untuk menyembelih dua ekor kambing jika anaknya itu dilahirkan pada tarikh lahirnya iaitu 21 Oktober 1995.
“Sepatutnya anak kami lahir pada penghujung bulan ini mengikut jangkaan tarikh lahir yang dimaklumkan doktor (EDD).
“Namun, saya telah ‘bernazar’ jika anak ku ini lahir pada sama tarikh lahir ku, maka akan aku laksanakan ‘akikah’ (2 ekor kambing).
“Alhamdulillah, Allah kabulkan nazar ini. Allah kurniakan ku zuriat tepat pada hari lahirku.
“Haza min Fadhli Robbi. Tarikh lahirku 21 oktober 1995, anak ku 21 oktober 2025. Rezeki Allah,” katanya.
Sekadar info, Syed dan Hana mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2022 di Kuala Lumpur.
Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan cahaya mata pertama, Sharifah Fatma Nour Jamalullail pada 14 Ogos 2024.